GEORGE TOWN: Pulau Pinang berpotensi untuk terus menjadi negeri pengeksport terbesar di Malaysia bagi tahun 2023, jika dilihat kepada prestasi semasa negeri serta angka-angka terkini.

Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican (BN-Bertam) yang juga Pengerusi Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) berkata dalam tempoh Januari hingga Ogos lepas, Pulau Pinang terus mengekalkan kedudukan sebagai pengeksport terbesar negara dengan 30 peratus.

"Bagaimanapun dari segi nilai terdapat sedikit penurunan iaitu 3.1 peratus dengan jumlah RM281.03 bilion, namun saya optimis, melihat kepada prestasi semasa dan angka-angka terkini Pulau Pinang mampu terus menjadi negeri pengeksport terbesar di Malaysia bagi tahun 2023.

"Saya ingin kongsikan juga dengan Dewan Yang Mulia ini, 25 peratus atau RM111.75 bilion nilai eksport Pulau Pinang pada tahun lepas disumbangkan oleh 50 pengeksport terbesar negeri ini," katanya pada sesi perbahasan ucapan Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak di persidangan Dewan Undangan Negeri di sini pada Selasa.

Reezal Merican berkata10 daripadanya adalah syarikat berstatus syarikat multinasional (MNC) yang menyumbang kira-kira 39 peratus atau RM44 bilion nilai eksport daripada kumpulan 50 syarikat berkenaan.

Tambahnya 10 syarikat MNC ini juga menyumbang kira-kira 10 peratus daripada jumlah keseluruhan eksport Pulau Pinang.

"Dalam hal ini, suka juga untuk saya kongsikan bahawa bagi tempoh Januari hingga September lepas, 327 syarikat dari Pulau Pinang telah dibantu oleh MATRADE di bawah program pembangunan pengeksport MATRADE.

"Dalam tempoh yang sama 11,960 syarikat Malaysia telah berdaftar bersama MATRADE dan dari jumlah itu, 929 syarikat merupakan syarikat yang berasal dari Pulau Pinang," katanya.

Beliau juga mengucapkan ribuan ucapan terima kasih kepada kerajaan negeri, atas kerjasama dengan MATRADE Wilayah Utara sehingga membolehkan mereka menganjurkan dan menyertai 99 program jangkauan pengeksport (exporters outreach) di Pulau Pinang.

Persidangan DUN Pulau Pinang ditangguh dan akan bersambung hari ini.

-- BERNAMA