GEORGE TOWN: Pulau Pinang memasuki suku kedua 2026 dengan ekonominya di landasan amat kukuh, termasuk mempertahan kedudukan sebagai ‘nadi eksport’ Malaysia dengan menyumbang hampir 45 peratus jumlah eksport nasional.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, pencapaian itu dipacu oleh lonjakan pelaburan dalam sektor pembuatan bernilai RM22.4 bilion pada 2025.
Advertisement
Namun, katanya, angka-angka itu lebih bermakna jika dapat diterjemah kepada kesejahteraan rakyat iaitu 24,633 peluang pekerjaan baharu yang bakal terhasil daripada projek pelaburan terbabit.
Sehubungan itu, fokus kini adalah memastikan rakyat Pulau Pinang bukan sekadar menjadi pemerhati tetapi juga tampil sebagai pemain utama dalam industri bernilai tinggi.
"Hari ini, 1 Mei 2026 bukan sekadar satu tarikh dalam kalendar, sebaliknya kita meraikan denyut nadi ekonomi negeri ini iaitu anda para pekerja yang menjadi tunjang kemajuan.
"Tema ‘Pekerja MADANI Kesuma Bangsa’ yang diangkat pada tahun ini merupakan satu pengiktirafan tertinggi bahawa di sebalik setiap angka pertumbuhan dan pencakar langit di Pulau Pinang, terdapat titisan keringat serta pengorbanan ikhlas daripada setiap insan bergelar pekerja," katanya dalam perutusan sempena Hari Pekerja hari ini.
Chow berkata, kadar pengangguran yang kini stabil pada 2.7 peratus membuktikan pasaran tenaga kerja Pulau Pinang kekal dinamik dan berdaya tahan, namun cabaran sebenar 2026 adalah ‘revolusi kemahiran’ iaitu berdepan ledakan kecerdasan buatan (AI) serta peralihan ke arah ekonomi hijau.
Berikutan itu, kerajaan negeri menerusi peruntukan pembangunan, sedang membangunkan sebuah ekosistem yang melindungi serta memperkasa warga kerja.
"Dua projek mercu tanda kini sedang mengubah landskap kerjaya di negeri ini iaitu pembangunan Pulau Silikon melalui Green Tech Park yang bakal muncul sebagai pusat graviti pekerjaan masa hadapan. Ini bukan sekadar kawasan perindustrian baharu tetapi ekosistem progresif menggabungkan teknologi maju dengan kelestarian alam secara seiringan.
"Kedua, aspirasi merealisasikan sistem pengangkutan moden kini menjadi kenyataan melalui Projek Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Mutiara yang memasuki fasa pembinaan kritikal tahun ini...projek itu merupakan komitmen kita ‘mengembalikan masa’ yang sebelum ini terbuang dalam kesesakan agar dimanfaatkan untuk keluarga serta menikmati kualiti hidup lebih sejahtera," katanya.
Selain pembangunan infrastruktur fizikal, pelaburan sebanyak RM15 juta dalam program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), turut dirangka bagi memastikan generasi muda memiliki kemahiran diiktiraf global.
Kerajaan negeri juga, katanya, berhasrat melahirkan tenaga kerja yang bukan hanya mahir melaksanakan arahan tetapi berupaya berinovasi serta mencipta penyelesaian terhadap cabaran dan permasalahan dunia.
"Dalam kita mengejar produktiviti jangan sesekali mengabaikan nilai kemanusiaan. Saya menyeru majikan di seluruh negeri agar melihat aspek kesihatan mental serta keseimbangan kerja dan kehidupan sebagai satu pelaburan, bukannya beban kos," katanya.
-- BERNAMA