Skip to main content

Malaysia

Pulau Pinang mampu capai sasaran 10 peratus tenaga boleh baharu menjelang 2030 - Chow

51732247097_ChowKonYeow.jpg
Pulau Pinang berada dalam landasan yang tepat dalam pelaksanaan peralihan tenaga boleh baharunya, dengan tenaga bersih itu kini menyumbang kira-kira enam peratus daripada campuran tenaga negeri.
Advertisement

GEORGE TOWN: Pulau Pinang berada dalam landasan yang tepat dalam pelaksanaan peralihan tenaga boleh baharunya, dengan tenaga bersih itu kini menyumbang kira-kira enam peratus daripada campuran tenaga negeri. 

Oleh itu, Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata kerajaan negeri yakin dapat meningkatkan penggunaan dalam tenaga boleh baharu sebanyak 10 peratus menjelang 2030 di bawah Rangka Kerja Tenaga Pulau Pinang, selain meningkatkan kecekapan tenaga sebanyak 25 peratus menjelang 2030. 

“Kami yakin dapat mencapai sasaran 10 peratus yang ditetapkan, dan apabila ia berjaya dicapai, kami akan menetapkan sasaran yang lebih tinggi bagi memacu peralihan tenaga bersih kami,” katanya ketika melancarkan Fasa 2 Projek Pemasangan Solar di Renesas Semiconductor (Malaysia) Sdn Bhd (Renesas) di sini hari ini. 

Beliau berkata projek tenaga boleh baharu yang melibatkan pemain industri itu penting dalam menyokong agenda kemampanan negeri, sambil menambah bahawa pemasangan solar Renesas tersebut menunjukkan bagaimana perniagaan boleh memperkukuh daya saing sambil menyumbang kepada kemampanan alam sekitar. 

Projek itu melibatkan pemasangan panel solar di tempat meletak kereta yang dijangka menjana elektrik boleh baharu bagi operasi harian syarikat itu, sambil mengurangkan pelepasan karbon dioksida sebanyak kira-kira 720 tan setahun, sekali gus menyokong komitmen alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) syarikat serta matlamat iklim negeri. 

Chow berkata langkah Renesas itu akan meningkatkan kecekapan tenaga, mengurangkan kos operasi dan mewujudkan nilai jangka panjang bagi perniagaan, di samping mengukuhkan kedudukan Pulau Pinang sebagai hab utama bagi pembuatan yang mampan dan industri bernilai tinggi. 

Katanya, kerajaan negeri akan terus menyokong pihak industri dalam menerapkan amalan pembuatan yang mampan menerusi Program Industri Hijau Pulau Pinang (PGIP), dengan inisiatif Pemboleh Transformasi Hadapan Industri Lestari dan Holistik (SHIFT Enable).

Inisiatif itu menyediakan akses kepada Dana Mitigasi Iklim (CM) untuk membantu syarikat, terutamanya perusahaan kecil dan sederhana (PKS), bagi memperkukuh amalan ESG dan menambah baik pengurusan karbon.

“Projek oleh Renesas hari ini merupakan contoh terbaik mengenai bagaimana industri boleh membantu menyokong agenda kemampanan negeri.

“Ia menunjukkan bahawa pelaburan dalam tenaga boleh baharu boleh meningkatkan daya saing perniagaan sambil menyumbang kepada kemampanan alam sekitar,” katanya. 

Chow berkata kerajaan negeri tidak menyediakan insentif khusus bagi syarikat yang melabur dalam pemasangan tenaga boleh baharu, tetapi telah bekerjasama dengan Alliance Bank untuk mewujudkan inisiatif Dana CM bagi membantu PKS mendapatkan pembiayaan bagi projek berkaitan ESG dan memacu proses kemampanan mereka. 

Sementara itu, Ketua Pegawai Runcit Tenaga Nasional Bhd (TNB) Datuk Kamal Ariffin A. Rahman berkata projek bernilai kira-kira RM2 juta itu dilaksanakan mengikut model perbelanjaan modal sifar (capex), yang membolehkan Renesas memasang sistem solar tanpa pendahuluan perbelanjaan modal. 

Beliau berkata pemasangan itu dibiayai menerusi kerjasama antara TNB dan GSPARX Sdn Bhd, dengan pelaburan akan diperoleh semula menerusi penjimatan kos tenaga yang dijana oleh sistem tersebut, dalam tempoh yang diunjurkan iaitu kurang daripada 10 tahun. 

Kamal Ariffin berkata projek itu yang merupakan sebahagian daripada program pemasangan solar 10-megawatt (MW) Renesas, menyokong komitmen negara untuk mencapai pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050.

Pada masa sama, ia bertujuan meningkatkan penggunaan tenaga boleh baharu dalam campuran tenaga negara kepada antara 30 hingga 35 peratus menjelang 2035. 

Dalam pada itu, Ketua Global Internal Manufacturing Sites Renesas Ooi Heng Ee berkata syarikat itu turut melaksanakan projek solar yang sama di kemudahannya di Kedah dan Kuala Langat dengan kerjasama TNB sebagai sebahagian daripada strategi kemampanannya di seluruh negara. 

Beliau berkata inisiatif itu menunjukkan komitmen syarikat terhadap prinsip ESG dan pembuatan yang mampan merentasi seluruh operasinya di Malaysia. 

Ooi berkata terdahulu syarikat itu telah melengkapkan pemasangan panel solar atas bumbung di seluruh kemudahan pembuatannya, yang dijangka dapat mengurangkan pelepasan karbon dioksida sebanyak kira-kira 3,264 tan setahun. 

Katanya, projek panel solar di tempat meletak kereta itu menandakan fasa seterusnya dalam perjalanan kemampanan syarikat, dan apabila siap, ia dijangka dapat mengurangkan pelepasan karbon dioksida sebanyak 720 tan lagi setahun, iaitu bersamaan dengan memelihara lebih 32,000 pokok setiap tahun. 

-- BERNAMA 

 

Must Watch Video

Advertisement