MALAYSIA
Pulau Pinang negeri pertama wajibkan video keselamatan untuk tetamu

Kon Yeow (tengah) ketika merasmikan "Program Video Kesedaran Keselamatan Kebakaran Tetamu Hotel" peringkat JBPM Pulau Pinang, di sebuah hotel, hari ini. -Foto Facebook
BUKIT MERTAJAM: Pulau Pinang menjadi negeri pertama mewajibkan tayangan video keselamatan dihasilkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri sebagai prosedur standard untuk semua tetamu hotel.
Ringkasan AI
- Pulau Pinang jadi negeri pertama wajibkan tayangan video keselamatan JBPM kepada semua tetamu hotel sebagai langkah pencegahan awal.
- Video fokus kepada keselamatan kebakaran dan aktiviti air, ditayangkan semasa daftar masuk dan dalam bilik, dengan kakitangan hotel turut diberi latihan.
- Inisiatif ini jadikan Pulau Pinang sebagai model keselamatan pelancongan nasional, dengan rancangan jangka panjang termasuk aplikasi mudah alih dan modul keselamatan seragam.
Beliau berkata kerajaan negeri serius dalam menangani isu keselamatan awam selain aspirasi yang jelas iaitu menjadikan Pulau Pinang bukan sahaja harmoni dan menarik untuk dilawati, tetapi juga destinasi diyakini selamat agar kekal sebagai mercu tanda pelancongan antarabangsa.
"Pulau Pinang telah menyaksikan pertumbuhan luar biasa dalam pelancongan dengan menerima 8.2 juta pelancong tahun lepas, namun peningkatan bilangan pengunjung telah membawa cabaran baharu terutama berkaitan keselamatan dalam aktiviti air dan penginapan hotel.
"Keputusan kerajaan negeri untuk menguatkuasakan keperluan video keselamatan baharu ini mengukuhkan reputasi Pulau Pinang sebagai destinasi pelancongan yang selamat dan menarik," katanya selepas merasmikan "Program Video Kesedaran Keselamatan Kebakaran Tetamu Hotel" peringkat JBPM Pulau Pinang, di sebuah hotel, di sini, hari ini.
Turut hadir Pengarah JBPM Pulau Pinang Mohamad Shoki Hamzah dan Timbalan Ketua Polis Pinang Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin.
Video kesedaran keselamatan kebakaran dan air untuk tetamu hotel oleh JBPM Pulau Pinang khusus untuk tetamu hotel, bertujuan mendidik pelawat mengenai protokol keselamatan penting dengan penekanan kepada pencegahan kebakaran serta aspek keselamatan di air.
Sementara itu, Mohamad Shoki berkata data operasi JBPM menunjukkan bahawa dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini, insiden lemas kekal antara panggilan kecemasan utama khususnya di kawasan pantai, kolam renang hotel serta lokasi rekreasi air.
Beliau berkata walaupun kadar kesedaran semakin meningkat, masih ada pelancong yang mengambil ringan aspek keselamatan, justeru, video berkenaan diwujudkan sebagai inisiatif pencegahan awal, dengan mesej keselamatan ditayangkan kepada setiap tetamu hotel ketika mendaftar masuk dan semasa di dalam bilik hotel.
"Pendekatan ini adalah langkah proaktif kerana pencegahan awal jauh lebih baik daripada tindakan selepas berlakunya insiden.
"Majlis ini istimewa bagi JBPM kerana bukan sahaja mencatat sejarah, malah menjadikan Pulau Pinang sebagai negeri pertama di Malaysia memperkenalkan pendekatan sebegini bagi memastikan keselamatan tetamu hotel, khususnya sama ada di dalam premis mahupun ketika melakukan aktiviti air," katanya.
Sementara itu, Mohamad Shoki berkata kakitangan hotel akan diberi latihan berkaitan agar mereka bukan sahaja boleh menayangkan video tersebut malah berupaya memberikan penerangan jika diperlukan dan sebagainya.
"Usaha ini membuktikan bahawa Pulau Pinang sentiasa berada di hadapan dalam inovasi keselamatan awam, seiring dengan imej negeri ini sebagai destinasi pelancongan selamat atau safe tourism destination, pada masa sama, pendekatan ini juga berpotensi diperluas ke negeri-negeri lain sekali gus menjadikan Pulau Pinang sebagai model rujukan nasional dalam aspek keselamatan pelancongan.
"Kami juga telah menyusun pelan jangka panjang menyeluruh seperti mengintegrasikan teknologi pintar dengan pelan pembangunan aplikasi mudah alih keselamatan air yang boleh diakses oleh semua pelancong," katanya yang turut memaklumkan penyeragaman modul keselamatan air di hotel juga dibuat supaya semua hotel di Pulau Pinang mempunyai garis panduan seragam.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami