MALAYSIA
Pulau Pinang perlu beralih daripada model kos rendah untuk kekalkan daya saing global

Sim yakin bahawa dengan dasar dan insentif yang bersesuaian, Pulau Pinang berupaya mengekalkan reputasi sebagai jenama global berkualiti tinggi. - Gambar fail/Bernama
GEORGE TOWN: Pulau Pinang perlu beralih daripada model ekonomi tradisional berkos rendah dan mula memanfaatkan inovasi, penciptaan nilai tinggi serta pembangunan perusahaan tempatan untuk kekal berdaya saing di peringkat global.
Menteri Sumber Manusia Steven Sim Chee Keong berkata walaupun model berkos rendah telah membantu membentuk Pulau Pinang sebagai hab pembuatan sejak beberapa dekad lepas, negeri itu kini perlu merangka hala tuju baharu ke arah kemampanan ekonomi melalui fasa seterusnya -- inisiatif "Penang 3.0."
Dalam kenyataan hari ini bersempena Anugerah Antarabangsa INPenang 2025 yang diadakan pada 21 Jun lepas, Sim berkata visi Penang 3.0 menyasarkan untuk mentransformasi negeri itu daripada hab pembuatan global kepada pusat inovasi, teknologi dan penciptaan bernilai tinggi, didorong oleh bakat dan perusahaan tempatan.
"Sekiranya Penang 2.0 mengenai syarikat global yang datang ke Pulau Pinang untuk menghasikan produk mereka di sini, Penang 3.0 pula perlulah menyokong syarikat pemula niaga kita ke arah penciptaan nilai yang lebih tinggi."Melangkah ke hadapan, kita perlu membina warisan kita untuk menghasilkan 4T tempatan iaitu bakat, teknologi, produk dan tanda perdagangan. Dalam erti kata lain, dalam tempoh 50 tahun akan datang, kita mahu mentransformasi daripada 'Made in Penang' (Dibuat di Pulau Pinang) kepada 'Made by Penang' (Dibuat oleh Pulau Pinang)," katanya.
Sim turut yakin bahawa dengan dasar dan insentif yang bersesuaian, Pulau Pinang berupaya mengekalkan reputasi sebagai jenama global berkualiti tinggi.
Beliau turut mengakui pencapaian kerajaan negeri Pulau Pinang di bawah pimpinan Ketua Menteri Chow Kon Yeow yang telah melaksanakan beberapa projek penting bagi memajukan lagi negeri itu seperti pengembangan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang dan projek transit aliran ringan Laluan Mutiara.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami