GEORGE TOWN: Pulau Pinang mempertimbangkan untuk melaksanakan pusingan kedua pembenihan awan setelah operasi yang dilakukan di kawasan tadahan air (KTA) Empangan Air Itam dan Empangan Teluk Bahang baru-baru ini, gagal merekodkan sebarang hujan.

Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata perkara itu akan diserahkan kepada Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) untuk menguruskan perkara yang diperlukan bagi proses pembenihan awan.

"Kita akan terus memantau, namun setakat ini, kapasiti efektif di Empangan Air Itam tidak lagi merosot berbanding sebelumnya sejak PBAPP mengumumkan pelaksanaan Pelan Tindakan Empangan Air Itam 2024 (AIDAP 2024) minggu lepas," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan pembukaan We Are Site Manager International Symposium di sini hari ini, yang berlangsung selama lima hari hingga 5 Mac dan mengumpulkan 160 pengurus tapak warisan dunia dari 37 negara.

Chow berkata kapasiti efektif Empangan Air Itam yang dicatatkan pada 5 Feb adalah rendah iaitu 32.8 peratus sebelum meningkat sebanyak 4.2 peratus kepada 37 peratus dan kekal setakat ini.

"Menerusi pelan itu, PBAPP telah mengurangkan pelepasan harian dari Empangan Air Itam selain mengepam air terawat dari LRA Sungai Dua di Seberang Perai ke kawasan perkhidmatan LRA Air Itam bagi memastikan bekalan air mencukupi untuk kegunaan pengguna di kawasan terbabit," katanya.

Semalam, Ketua Pegawai Eksekutif PBAPP K. Pathmanathan dalam kenyataan memaklumkan tiada hujan direkodkan daripada dua operasi pembenihan awan di KTA Empangan Air Itam dan Empangan Teluk Bahang yang dijalankan oleh pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) pada 27 dan 28 Feb lepas.

Beliau berkata ia berkemungkinan disebabkan keadaan atmosfera dan awan yang tidak begitu menggalakkan pada masa itu.

Oleh sebab itu, Pathmanathan berkata kapasiti efektif di kedua-dua empangan berkenaan juga tidak dapat ditingkatkan buat masa ini.

-- BERNAMA