Pulau Pinang salur RM141.89 juta bantu sekolah Cina, mubaligh sejak 2009

Chow berkata selepas hampir 16 hingga 17 tahun pelaksanaan inisiatif itu, kerajaan negeri melihat perubahan ketara terhadap keadaan fizikal sekolah-sekolah yang menerima bantuan. - Foto Facebook/Chow Kon Yeow
GEORGE TOWN: Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah menyalurkan RM141.89 juta kepada sekolah-sekolah aliran Cina dan sekolah mubaligh di negeri ini bagi tempoh 2009 hingga 2025, sebagai sebahagian daripada usaha berterusan meningkatkan kemudahan pendidikan.
Ringkasan AI
- Kerajaan Negeri Pulau Pinang memperuntukkan RM141.89 juta kepada sekolah aliran Cina dan mubaligh dari tahun 2009 hingga 2025 bagi meningkatkan kemudahan pendidikan.
- Inisiatif ini membantu sekolah menangani kerja pembaikan asas kritikal seperti bumbung rosak, pendawaian usang, dan tandas uzur bagi memastikan keselamatan murid dan pendidik.
- Selain itu, kerajaan negeri juga meluluskan RM845,000 untuk 16 sekolah mubaligh tahun ini, termasuk peruntukan untuk pembelajaran moden seperti smart board dan makmal inovasi.
"Peruntukan ini merangkumi kerja-kerja pembaikan bumbung rosak, pendawaian usang, tandas uzur serta kemudahan lain yang boleh menjejaskan keselamatan jika tidak ditangani segera. Usaha ini penting bagi memastikan persekitaran pembelajaran yang selamat, selesa dan kondusif," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Replika Cek Peruntukan Kerajaan Negeri kepada Sekolah-Sekolah Mubaligh Tahun 2026 di Komtar, pada Jumaat.
Chow berkata selepas hampir 16 hingga 17 tahun pelaksanaan inisiatif itu, kerajaan negeri melihat perubahan ketara terhadap keadaan fizikal sekolah-sekolah yang menerima bantuan.
Seiring perkembangan semasa, beliau berkata kerajaan negeri juga sejak dua tahun kebelakangan ini turut mempertimbangkan permohonan bagi kemudahan pembelajaran moden seperti komputer, papan pintar (smart board) dan makmal inovasi (makers lab).
Beliau berkata kerajaan negeri meluluskan peruntukan RM845,000 untuk 16 sekolah mubaligh tahun ini, setelah melalui proses penilaian teliti oleh Jawatankuasa Penyelarasan Hal-Ehwal Sekolah Cina dan Mubaligh, termasuk lawatan tapak oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan dan barisan ahli jawatankuasa berkaitan.
"Daripada jumlah itu, RM525,000 atau 62.3 peratus diperuntukkan untuk kerja-kerja pembaikan dan penaiktarafan infrastruktur sekolah, manakala RM285,000 atau hampir satu pertiga digunakan bagi pemasangan smart board, selaras dengan keperluan pembelajaran abad ke-21 dan agenda pendigitalan pendidikan," katanya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


