Skip to main content

Malaysia

Pulau Pinang sedia realisasikan NICE, perkukuh persiapan hadapi masyarakat menua - Chow

Chow berucap pada Majlis Pengisytiharan Warisan Negeri di bawah Enakmen Warisan Negeri Pulau Pinang 2011 kali kedua bagi 2026 pada Sabtu. - Gambar Facebook Chow Kon Yeow
Chow berucap pada Majlis Pengisytiharan Warisan Negeri di bawah Enakmen Warisan Negeri Pulau Pinang 2011 kali kedua bagi 2026 pada Sabtu. - Gambar Facebook Chow Kon Yeow

Advertisement

GEORGE TOWN: Pembangunan Pusat Kepakaran Penjagaan Bersepadu (NICE) di Pulau Pinang dijangka menjadi inisiatif penting dalam memperkukuh persediaan negeri menghadapi peningkatan populasi warga emas.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, kerajaan negeri bersedia memberikan kerjasama bagi merealisasikan pelaksanaan pembangunan pusat berkenaan yang bertujuan menyediakan kemudahan latihan, penyelidikan dan penjagaan warga emas itu seperti yang diumumkan dalam Belanjawan 2027 semalam.

Beliau berkata, Bahagian Perancang Ekonomi Negeri (BPEN) akan diminta berhubung dengan kementerian berkaitan bagi memperincikan perancangan pembangunan NICE kerana belum mempunyai maklumat lanjut termasuk lokasi dan pelaksanaannya di Pulau Pinang.

“'Kita sememangnya menyambut baik dan kerajaan negeri akan memberi kerjasama untuk memastikan kemudahan ini dapat ditubuhkan di Pulau Pinang,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pengisytiharan Warisan Negeri di bawah Enakmen Warisan Negeri Pulau Pinang 2011 kali kedua bagi 2026, di sini, pada Sabtu..

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan ketika membentangkan Belanjawan 2027 pada Jumaat mengumumkan dua NICE dibangunkan di Pulau Pinang dan Sarawak bagi tujuan latihan, penyelidikan serta penjagaan warga emas dalam usaha bagi mempersiap negara menuju status negara tua.

Chow berkata, peningkatan jumlah warga emas memerlukan perancangan dasar dan program bersasar bagi memastikan kebajikan serta keperluan golongan itu dapat dipenuhi dengan lebih berkesan.

Beliau berkata, Pulau Pinang dijangka mencapai status negeri menua dalam tempoh beberapa tahun akan datang dan usaha menangani cabaran berkenaan bukan sahaja menjadi tanggungjawab kerajaan, malah turut memerlukan penglibatan sektor swasta dan komuniti.

"Kerajaan negeri, pihak swasta dan komuniti perlu sama-sama memandang berat tentang proses penuaan dan status negeri warga emas yang sememangnya memerlukan dasar, infrastruktur, rumah warga emas, program kesedaran, kebajikan dan sebagainya," katanya.

Dalam perkembangan lain, Chow berkata, kerajaan negeri akan mendapatkan maklumat lanjut mengenai cadangan pembangunan NCT InnoSphere seluas 49.37 hektar melibatkan Pulau Pinang dan Kulim, Kedah, yang turut diumumkan dalam Belanjawan 2027.

Bagi terus memperkasakan Zon Ekonomi Sempadan Khas (SBEZ), Anwar mengumumkan NCT InnoSphere dibangunkan sebagai hab kenderaan berat, kejuruteraan, penyelenggaraan dan logistik yang melengkapi industri di Kulim dan Pulau Pinang. 

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement