GEORGE TOWN:Pulau Pinang akan memberi penekanan kepada pelancongan domestik dalam separuh pertama 2021 bagi menghidupkan kembali industri pelancongan negeri dan merangsang pertumbuhan ekonomi tempatan ketika penularan pandemik COVID-19.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Ekonomi Kreatif (PETACE) negeri Yeoh Soon Hin berkata pelancongan domestik, yang memberi tumpuan kepada percutian berorientasikan keluarga, ekopelancongan dan pelancongan kebudayaan kreatif, perlu bagi mengekalkan industri pelancongan serta mengisi kelompongan perjalanan antarabangsa yang masih tidak menentu.

Meskipun berdepan cabaran menghidupkan kembali industri pelancongan pada 2021, beliau tetap yakin mampu mencapai pemulihan keluk berbentuk 'V' (pemulihan yang cepat dan berterusan) dan bangkit semula apabila vaksin boleh didapati dan digunakan oleh orang ramai.

"Walaupun pandemik COVID-19 memberi kesan mendalam terhadap industri pelancongan global, kami melihatnya sebagai bukan penghalang kepada keinginan orang ramai untuk melancong dan sektor pelancongan.

"Untuk memanfaatkannya, kebanyakan negara sedang merangka strategi dan membuat perancangan bersesuaian sebagai persediaan ke arah kebangkitan dan transformasi sektor ini," menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Yeoh juga berkata PETACE akan membangunkan strategi berkaitan ekonomi kreatif sejajar dengan deklarasi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi 2021 sebagai 'Tahun Antarabangsa Ekonomi Kreatif untuk Pembangunan Lestari.'

"Ekonomi kreatif mempunyai potensi besar dalam merangsang pembangunan ekonomi. Kami akan melancarkan beberapa aktiviti ekonomi kreatif tahun ini untuk menggalakkan penduduk Pulau Pinang yang berbakat untuk tampil menonjolkan kreativiti dan inovasi mereka," katanya.

Beliau berkata PETACE dan Penang Global Tourism juga sedang merancang kempen untuk memperkenalkan aktiviti pelancongan melalui kerjasama dengan pemain industri dan pihak berkepentingan yang akan diumumkan tidak lama lagi.

-- BERNAMA