Skip to main content

Malaysia

Pusat data: Johor lulus 21 JLH penggunaan air terawat

Onn Hafiz (foto) berkata jumlah yang diluluskan itu bersamaan kira-kira 1.05 peratus daripada purata pengeluaran air terawat Johor sebanyak 2,034 juta liter sehari. -fotoBERNAMA
Onn Hafiz (foto) berkata jumlah yang diluluskan itu bersamaan kira-kira 1.05 peratus daripada purata pengeluaran air terawat Johor sebanyak 2,034 juta liter sehari. -fotoBERNAMA

Ringkasan AI

  • Kerajaan Johor hanya meluluskan 21 juta liter sehari penggunaan air terawat bagi 19 pusat data, jauh lebih rendah daripada permohonan asal 73 JLH.
  • Menteri Besar menegaskan setiap permohonan pusat data dinilai secara teknikal dan kesejahteraan rakyat serta keselamatan bekalan air tidak akan dikompromi.
  • Kerajaan negeri menggalakkan penggunaan teknologi penyejukan air dan sumber air alternatif oleh pusat data untuk kurangkan kebergantungan kepada bekalan air konvensional.
Advertisement

ISKANDAR PUTERI: Kerajaan Negeri Johor hanya meluluskan sebanyak 21 juta liter sehari (JLH) penggunaan air terawat bagi 19 pusat data yang beroperasi di negeri itu berbanding  permohonan asal yang mencecah 73 JLH.

Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata jumlah yang diluluskan itu bersamaan kira-kira 1.05 peratus daripada purata pengeluaran air terawat Johor sebanyak 2,034 juta liter sehari.

Beliau berkata angka itu membuktikan bahawa setiap permohonan pusat data, menerusi Jawatankuasa Penyelarasan Pembangunan Pusat Data Negeri Johor (JPPPDNJ) perlu melalui penilaian teknikal sebelum diluluskan untuk kebenaran merancang.

Advertisement

Sehubungan dengan itu, beliau menepis dakwaan bahawa pembangunan pusat data bakal menjadi punca gangguan bekalan air, sekali gus menegaskan kesejahteraan rakyat tidak akan dikorbankan demi pelaburan.

"Keselamatan bekalan air termasuk kecukupan tenaga dan kelestarian alam sekitar adalah perkara yang langsung tidak boleh dikompromi," katanya pada penggulungan Belanjawan Johor 2027 di persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor di Bangunan Sultan Ismail, di sini hari ini.

Advertisement

Onn Hafiz yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Machap berkata selain kawalan jumlah bekalan, kerajaan negeri turut menggalakkan pusat data agar menggunakan teknologi penyejukan air serta sumber air alternatif bagi mengurangkan kebergantungan kepada bekalan air konvensional.

Beliau berkata antara syarikat yang mengambil inisiatif seumpama itu ialah Bridge Data Centres dan Computility yang menggunakan air kumbahan terawat.

"DayOne pula menggunakan sumber air Sungai Tebrau melalui loji rawatan air yang dibina sendiri di Kempas Tech Park," katanya. 

Dalam pada itu, Onn Hafiz berkata Johor menjadi destinasi pilihan pelabur berprofil tinggi, khususnya dalam industri berteknologi tinggi dan bernilai tambah, sekali gus menegaskan tidak hanya tertumpu kepada pembangunan pusat data semata-mata.

Beliau berkata sebanyak 60,000 potensi  pekerjaan, termasuk 15,000 yang bergaji premium ditawarkan menerusi pelaburan-pelaburan sejak 2024 hingga suku ketiga tahun ini. 

Mesyuarat Kedua Penggal Pertama DUN Johor ke-16 yang berlangsung sejak 19 Nov berakhir hari ini.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement