Skip to main content

Malaysia

Pelancaran Pelan Induk JS-SEZ ditangguh kali kedua, Johor bimbang momentum pelaburan menyusut - Onn Hafiz

Onn Hafiz berkata, pelancaran Pelan Induk JS-SEZ ditangguhkan kali kedua tanpa tarikh baharu, walaupun dokumen siap sejak Mac. - Gambar fail/BERNAMA
Onn Hafiz berkata, pelancaran Pelan Induk JS-SEZ ditangguhkan kali kedua tanpa tarikh baharu, walaupun dokumen siap sejak Mac. - Gambar fail/BERNAMA

Ringkasan AI

  • Pelancaran Pelan Induk Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) ditangguhkan buat kali kedua dan tarikh baharu belum ditetapkan.
  • Dokumen pelan induk JS-SEZ telah siap sejak Mac dan kerajaan negeri menggesa pelancarannya disegerakan untuk elak kehilangan peluang pelaburan.
  • Pelan induk ini menggariskan hala tuju pelaburan, sektor keutamaan, infrastruktur serta pembangunan tenaga mahir bagi menyokong ekonomi rentas sempadan.
Advertisement

ISKANDAR PUTERI: Pelancaran Pelan Induk Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) ditangguhkan buat kali kedua dan tarikh baharu belum ditetapkan, kata Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Beliau berkata selepas pelancarannya ditangguhkan pada Mac lepas, pelan itu dijadual dilancarkan semasa pertemuan pemimpin Malaysia dan Singapura pada Disember ini.

Menurutnya, dokumen pelan induk itu telah siap sejak Mac dan kerajaan negeri menggesa supaya pelancarannya disegerakan.

Advertisement

“Dalam landskap ekonomi global yang semakin kompetitif, kita tidak mahu penangguhan ini menyebabkan Johor kehilangan momentum dan peluang pelaburan,” katanya pada penggulungan Belanjawan Johor 2027 pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor di sini hari ini.

Pelan induk yang disediakan oleh Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) bersama Kementerian Ekonomi itu menggariskan hala tuju pelaburan di JS-SEZ.

Advertisement

Pelan itu memperincikan sektor yang diberi keutamaan, infrastruktur yang perlu ditambah baik serta keperluan pembangunan tenaga mahir bagi menyokong kegiatan ekonomi rentas sempadan.

Malaysia dan Singapura memeterai perjanjian penubuhan JS-SEZ pada 7 Jan 2025 dengan zon itu meliputi sembilan kawasan utama di Johor serta tumpuan kepada 11 sektor, antaranya pembuatan, logistik, ekonomi digital dan tenaga.

Menjawab isu yang dibangkitkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gambir, Bentayan dan Tenang, Onn Hafiz berkata usaha pembangunan negeri turut meliputi kawasan di luar JS-SEZ supaya peluang ekonomi dapat dinikmati seluruh rakyat Johor.

Beliau berkata bagi mencapai matlamat itu, kerajaan negeri perlu memperkukuh pusat ekonomi, merapatkan hubungan antara wilayah dan mengurangkan halangan kepada kegiatan ekonomi.

Mesyuarat Kedua Penggal Pertama DUN Johor ke-16 yang berlangsung sejak 19 November lepas berakhir hari ini.

-- BERNAMA

 

 

 

Must Watch Video

Advertisement