Ringkasan AI
- Sabah Electricity melaksanakan catuan bekalan elektrik di Pantai Timur Sabah susulan insiden menara penghantaran T313 tumbang di Ranau semalam.
- Empat daerah terlibat setakat 10 pagi ialah Sandakan, Tawau, Semporna dan Lahad Datu, melibatkan pelbagai kawasan utama dan institusi.
- Jadual catuan lengkap sedang disediakan dan pengguna boleh mengikuti perkembangan terkini melalui saluran rasmi Sabah Electricity.
KOTA KINABALU: Sabah Electricity melaksanakan catuan bekalan elektrik di Pantai Timur Sabah melalui penyelarasan jadual giliran pengumpan bagi membolehkan pengguna menerima bekalan secara bergilir serta mengekalkan kestabilan sistem susulan kejadian menara penghantaran elektrik T313 tumbang di Ranau, semalam.
Sabah Electricity dalam kenyataan hari ini memaklumkan empat daerah yang terlibat dengan catuan setakat 10 pagi tadi ialah Sandakan, Tawau, Semporna dan Lahad Datu.
"Sabah Electricity amat menghargai kesabaran anda dan segala kesulitan amat dikesali," menurut Sabah Electricity.
Jurucakap syarikat utiliti itu ketika dihubungi berkata pihaknya sedang menyediakan jadual catuan lengkap termasuk masa pelaksanaan catuan dan jadual berkenaan akan dimaklumkan kemudian.
Lokasi terlibat di Sandakan, antaranya Klinik Kesihatan Batu 10, Sekolah Kebangsaan (SK) Berhala, Masjid Besar Sandakan, Pejabat Polis Marin, Pasar Besar Sandakan, SK Bambangan, SK Rimba, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Merpati, SMK Elopura Bestari dan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Pea Wha.
Kawasan lain yang turut terlibat meliputi Bandar Ramai-Ramai, Bandar Leila, Hsiang Garden, Bandar Fajar, Tanah Merah, Kampung Sim Sim Jambatan 1 hingga 17, Kampung Sibuga Besar, Kampung Gum-Gum, Jalan Seguntur dan Taman Permata serta kawasan di sekitarnya.
Kawasan utama di Tawau dalam senarai catuan bekalan elektrik ini merangkumi Perumahan Borneo Samudera, SK Batu 22, Kampung Rancangan Batu 22, SK Bukit Queen, Jabatan Pertanian Bukit Queen, SK Andrassy, Menara Telekom, Takungan Air Indrasabah, Loji Kumbahan Semarak dan Dewan Sri Tawau.
Selain itu, pelaksanaan catuan turut melibatkan SK Bahagia, SK Kukusan, Penjara Jalan Air Panas, Kuarters PGA, Taman Tawau 1 dan 2, PPRT 1 dan 2 Semarak, Kampung Indrasabah, Kampung Balung Kokos Hujung serta kawasan sekitarnya.
Kawasan utama di Semporna merangkumi SK Tagasan, MRSM Semporna, SMK Tagasan, Masjid Saidina Abu Bakar, Masjid Jamek, Kolej Komuniti, Akademi Pengajian Al-Quran Semporna, Klinik Desa Kampung Tagasan, Masjid Al-Mustaqim dan Masjid As-Salam.
Selain itu, pelaksanaan catuan bekalan secara bergilir turut membabitkan Kampung Indani, Kampung Bugaya, Kampung Bugaya Laut, Dewan Sri Bugaya, Kampung Tagasan, Kampung Pegagau, Kampung Kubang, Kampung Kalumpang, Pejabat JPN dan Pejabat JHEINS serta kawasan sekitarnya.
Di Lahad Datu pula kawasan yang terlibat ialah Jalan Dam, Jalan Segama Lama, Kampung Kenangan, Masjid Nurul Mubarak, Syarimo Palm Oil Mill, Jabatan Haiwan, Kampung Langsat, Bulatan POIC Segama 2, Borneo Engineering dan Lahad Datu Golf Country Club.
Syarikat itu turut merakamkan penghargaan atas kerjasama pengguna sepanjang penyelarasan jadual giliran kawasan catuan dilaksanakan.
Insiden menara T313 tumbang yang dikesan pada 6.04 pagi semalam memutuskan dua litar talian penghantaran dari Pantai Barat ke Pantai Timur Sabah, mengganggu bekalan elektrik di lapan daerah dan menjejaskan 153,599 pengguna berdaftar.
Orang ramai boleh mengikuti perkembangan terkini menerusi laman Facebook rasmi Sabah Electricity Careline atau menghubungi talian 15444, 088-515000 serta WhatsApp 019-852 5427
-- BERNAMA