PUTRAJAYA: Malaysia menyambut baik komitmen jangka panjang gergasi teknologi antarabangsa Microsoft Corp bersama-sama negara ini menerusi inisiatif Bersama Malaysia dalam memperkasakan Ekonomi Digital Malaysia.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata di bawah inisiatif Bersama Malaysia, pelaburan sebanyak RM4 bilion akan meliputi penubuhan pusat data serantau pertama di negara ini bagi menguruskan data daripada pelbagai negara.

“Saya difahamkan, menurut International Data Corporation, pelaburan ini mampu diterjemahkan kepada RM28.30 pendapatan yang dihasilkan dalam ekosistem awan tempatan daripada setiap RM4.20.

“Ia dijangkakan akan mewujudkan 19,000 pekerjaan termasuk 4,000 yang berkaitan dengan IT,” katanya dalam ucapannya pada Majlis Pelancaran Microsoft Bersama Malaysia di Hotel Zenith, Putrajaya pada Isnin.

Muhyiddin berkata bagi memanfaatkan data raya, Malaysia memerlukan tulang belakang bukan sahaja dari segi penyambungan dan penyimpanan data tetapi juga modal insan yang dilengkapkan dengan kemahiran sains data.

Beliau juga mengalu-alukan perkongsian awam-swasta yang dibentuk Microsoft dan rakan kongsinya termasuk Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU), Tabung Pembangunan Sumber Manusia (HRDF), Petronas, Celcom dan Grab.

Beliau berkata di bawah perkongsian tersebut, ia akan membantu meningkatkan kemahiran hingga satu juta rakyat Malaysia pada akhir tahun 2023.

“Dengan pengukuhan perkongsian bersama Microsoft hari ini, saya harap ini hanya permulaan kepada pelaburan yang lebih banyak di Malaysia, bagi Microsoft dan juga pemain industri data yang lain.

"Pelaburan yang signifikan dari Microsoft ini memperkukuhkan kedudukan Malaysia sebagai hab data serantau yang berpotensi dan kami sentiasa bersedia untuk menjalin lebih banyak perkongsian tatkala kami bekerjasama dengan pihak berkepentingan kami untuk terus meningkatkan tawaran nilai Malaysia di arena data raya,” katanya lagi.