Kerajaan kini berharap sebuah pusat kitar semula untuk panel solar akan dibangunkan oleh pihak swasta, dalam tempoh 10 tahun yang akan datang.

Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin berkata, pada masa ini banyak pihak mula membincangkan mengenai bagaimana cara mengitar semula panel solar, disebabkan ketiadaan pusat kitar semula untuknya.

Katanya pada masa ini sebuah syarikat swasta dari Kulim, Kedah sedang menguji faksiliti mereka sendiri bagi mengitar semula fotovoltan (PV).

"Secara puratanya jangka hayat panel solar adalah kira-kira 20 tahun dan hanya beberapa tahun lepas kita mula memasang secara besar-besaran panel solar pada bangunan yang besar.

"Jadi kita mempunyai kira-kira 10 tahun dari sekarang, sebelum faksiliti pembuangan pertama untuk mengitar semula panel solar ditubuhkan," katanya ketika syarahan umum mengenai Penyelidikan dan Pembangunan Ekosistem dan Teknologi Hijau di Universiti Sains Malaysia pada Isnin.

Yeo berkata, kebanyakan bahagian termasuk bahan kimia dalam panel solar boleh dikitar semula.

Bagaimanapun, beliau berkata, kerajaan akan menunggu kepada laporan ujian syarikat tersebut sebelum sebarang pengumuman boleh dilakukan mengenainya.