GEORGE TOWN: Chang Gung Memorial Hospital (CGMH), kumpulan hospital bukan kerajaan terbesar di Taiwan, menubuhkan pusat teknologi perubatan (MedTech) pertamanya, Taiwan Advance Medtech Centre (TAMC) di Pulau Pinang.

Pengarah Eksekutif TAMC Sdn Bhd, Datuk Dr Lee Toong Chow berkata TAMC merupakan usaha sama antara teknousahawan Pulau Pinang dan CGMH.

"TAMC memberi penekanan kepada penyelesaian pintar, penjagaan kesihatan AI (kecerdasan buatan), robotik canggih dan peranti perubatan kos efektif yang sesuai untuk keperluan tempatan.

"Cabaran bagi sistem kesihatan Malaysia seperti mana-mana negara lain, maju atau membangun adalah untuk mempunyai sistem penjagaan kesihatan yang murah dan boleh diakses oleh semua," katanya kepada pemberita pada majlis pelancaran TAMC pada Ahad.

Selain itu, katanya penubuhan TAMC akan membentuk hubungan rapat dengan rakan kongsi MedTech CGMH yang membolehkan pengamal penjagaan kesihatan Malaysia memanfaatkan teknologi dan penyelesaian yang diaplikasi di CGMH.

"TAMC bertujuan untuk menjadi saluran antara Malaysia dan Taiwan terutamanya dalam monitor, lengan robotik dan terapi sel.

"Pembentukan TAMC akan terbukti menjadi pelaburan positif bagi Pulau Pinang.

"TAMC akan membawa kepada peningkatan industri peranti perubatan di negeri ini, membawa mereka ke era baharu penjagaan kesihatan pintar," katanya.

Selain itu, beliau menyatakan TAMC akan membolehkan teleperubatan atau klinik jarak jauh diadakan secara berkala untuk perkongsian ilmu di peringkat tempatan.

"Pada masa ini, kami mahu memastikan TAMC di Malaysia berjalan lancar dan kemudian kami akan pertimbangkan negara lain seperti Indonesia.

"Selain itu penubuhan TAMC adalah pembuka mata kepada apa yang ditawarkan oleh industri penjagaan kesihatan yang berkembang pesat dan sentiasa inovatif," katanya.

-- BERNAMA