SUBANG JAYA: Kemajuan teknologi disokong kajian mendalam terhadap penyakit kanser kini mampu membantu dalam usaha menyediakan rawatan alternatif terbaik kepada para pesakit.

Perkhidmatan atau rawatan pemindahan sel stem di Malaysia juga dilihat semakin matang dengan peningkatan jumlah pakar dalam bidang ini selain pusat perubatan yang menawarkan prosedur tersebut.

Pakar Hematologi dan Transplantasi Pusat Perubatan Sunway, Bandar Sunway, Dr Ho Kim Wah berkata, pemindahan sel stem adalah satu kaedah imunoterapi di mana sistem imuniti badan akan dipertingkat bagi melawan darah atau sel-sel kanser.

“Bagi kebanyakan penyakit leukemia, kadar kejayaan daripada pemindahan sel stem allogenic adalah sekitar 50 hingga 70 peratus, bergantung kepada tahap dan jenis kanser pesakit.

"Manakala bagi rawatan kegagalan tulang sumsum (misalnya aplastic anaemia), kadar kejayaan mampu mencapai sehingga 90 peratus,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Astro AWANI bagi memahami rawatan pemindahan sel stem di Pusat Perubatan Sunway di sini baru-baru ini.

Tawar kepakaran & perkhidmatan terbaik pemindahan sel stem

Menurut Kim Wah, terdapat dua jenis pemindahan sel stem iaitu alogeneik (allogeneic transplant) dan autologus (autologous transplant) yang ditawarkan kepada pesakit kanser yang datang mendapatkan rawatan di pusat perubatan mereka.

“Biasanya kita laksanakan proses rawatan autologous transplant ini kepada pesakit yang menghidap limfoma dan multiple myeloma, di mana mereka akan diberi ubat kimoterapi yang kuat bertujuan untuk membunuh sel kanser dalam badan.

“Disebabkan ia terlalu ‘kuat’, ia boleh mengosongkan atau menjejaskan sumsum tulang dan membantutkan pertumbuhan sel stem dalam badan.

"Tetapi menerusi rawatan ini, kita akan memasukkan kembali sel stem pesakit sendiri yang diambil sebelum rawatan dijalankan bagi pertumbuhan semula sel darah mereka,” ujarnya.

Manakala, bagi rawatan allogeneic transplant, kita memerlukan penderma sama ada HLA serasi (daripada adik-beradik), atau HLA serasi namun tiada tali persaudaraan (matched unrelated donor – MUD), atau HLA separuh serasi (haploidentical), atau darah dari tali pusat (cord blood).

Selepas dapat penderma, pesakit akan menjalani kimoterapi atau radioterapi atau kedua-duanya yang dipanggil kimoterapi kondisi (conditioning regimen) supaya badan pesakit bersedia menerima sel stem baharu daripada penderma.

Jelasnya, di Pusat Perubatan Sunway, pihaknya mempunyai semua kepakaran dan fasiliti lengkap bagi tujuan rawatan berkenaan yang turut merangkumi doktor pakar pemindahan sel stem serta makmal untuk ujian darah yang khusus.

“Selain daripada doktor, adalah amat penting mempunyai pasukan perubatan terbaik bagi menjaga pesakit yang melaksanakan prosedur ini termasuk jururawat, farmasi selain kepakaran jabatan lain seperti onkologi, radiologi, dietitian yang ada berpengalaman dalam transplan.

“Fasiliti makmal juga perlu lengkap yang boleh menjalankan ujian darah khusus seperti paras ubat anti rejeksi dan jumlah virus dalam badan.

"Malah, di pusat perubatan kami turut mempunyai kemudahan dalam membuat HLA typing bagi mengenal pasti penderma yang sesuai serta ujian-ujian khas seprti donor-specific antibody dan DNA chirmerism study,” jelasnya.