IPOH: Pusat Rehabilitasi PERKESO Sultan Nazrin Shah di Bandar Meru Raya di sini adalah inisiatif utama Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) bersama Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dalam membangunkan sebuah pusat rehabilitasi terkemuka di rantau Asia Tenggara.
Ia sekali gus memperkukuh ekosistem rehabilitasi negara melalui pendekatan secara holistik, teknologi canggih dan pemulihan menyeluruh dengan teknologi terkini, termasuk rawatan neuro-robotik dan sibernik.
Pusat Rehabilitasi PERKESO Sultan Nazrin Shah kini menjadi hab rehabilitasi neuro-robotik terbesar di Asia Tenggara; dan menjadi pusat rujukan rehabilitasi serantau; pusat kecemerlangan program rehabilitasi dan Return To Work (RTW).
Ia juga merupakan pemangkin kepada inovasi rehabilitasi negara; pemacu pembangunan modal insan dan produktiviti negara serta penyumbang kepada pertumbuhan sektor pelancongan kesihatan dan ekonomi Negeri Perak.
Perkhidmatan bertaraf dunia yang diberikan telah memberi harapan kepada orang berinsurans (OB) atau pencarum PERKESO, Norhayati Ahmad, 48, dari Taiping, untuk kembali berjalan selepas terlantar lebih empat tahun akibat kemalangan jalan raya, walaupun baru menjalani rawatan pada 21 Mei lalu.
“Saya sudah lama terbaring atas katil dan dah lama pakai besi apa semua, jadi sekarang ni saya dalam proses nak berjalan balik.
“Saya sampai kat sini kira alhamdulillah, berkat kesabaran, di sini banyak membantu saya, daripada saya pakai tongkat U sampai saya pakai tongkat dua lepas tu saya dah pakai tongkat satu dan sekarang saya dalam proses untuk kembali berjalan tanpa tongkat,” katanya penuh yakin.
Ibu kepada tiga orang anak itu berharap selepas keluar daripada Pusat Rehabilitasi PERKESO Sultan Nazrin Shah, dia mampu bekerja semula dan menjalani kehidupan normal seperti dahulu.
Bagi pekerja kilang membuat karpet di Gopeng, Ooi Eng Hwa, 55, yang diserang stroke pada Mac 2026, keadaannya kini jauh lebih baik selepas menjalani proses pemulihan di pusat rehabilitasi ini.
“Saya sudah masuk di sini dekat dua bulan dan tempat ni memang ok semuanya, hostel, rawatan dan cikgu-cikgu dengan kemudahan semua baik.
“Ketika masuk dulu, keadaan saya masa itu lemah, lepas buat banyak fisio dengan gymnasium serta banyak barang-barang untuk rawatan, saya sekarang semakin baik.
“Sekarang ni saya sudah boleh berjalan, boleh angkat tangan semua dan kaki juga sudah kuat,” katanya.
Mengakui kemudahan yang disediakan sangat canggih, di samping layanan yang baik, bapa kepada dua anak ini berharap untuk kembali bekerja dalam minggu ini.
Pekerja di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Muhamad Aqil Yusri, 27, pula menjalani rawatan pemulihan selepas pembedahan akibat kecederaan sukan di bahagian lutut.
Ketika datang berkerusi roda pada 13 April lalu untuk menjalani rawatan di Pusat Rehabilitasi PERKESO ini, anak muda ini sudah boleh berjalan menggunakan tongkat, seterusnya dijangka berjalan seperti biasa selewat-lewatnya bulan hadapan.
“Kemudahan di sini memang alhamdulillah memang saya berpuas hati di samping teknologi serta peralatan semua baru dan memang canggih.
“Alhamdulillah saya dapat pulihkan semula kaki saya dengan menggunakan teknologi yang terbaru dan terkini,” ujarnya.
Menurut Muhamad Aqil, segala perbelanjaannya, bermula dari pembedahan sehingga ke hari semuanya ditanggung oleh PERKESO.
memberi manfaat kepada 3,000 pesakit setahun.
Pusat Rehabilitasi PERKESO Sultan Nazrin Shah, mula dibina pada 2 Mei 2022 dan siap sepenuhnya dalam tempoh empat tahun dengan reka bentuk yang ikonik dan futuristik- menggabungkan elemen warisan Perak menerusi Tekat Timbul Benang Emas dengan seni bina futuristik berteknologi tinggi.
Pusat ini mempunyai 13 blok utama dan setiap blok direka bentuk secara bersepadu bagi menyokong
penyampaian perkhidmatan rehabilitasi yang komprehensif dan pendekatan integrasi membolehkan rawatan yang lebih holistik, efektif serta berfokus kepada pemulihan menyeluruh pesakit.
Antara kemudahan yang disediakan ialah penginapan, Pusat Neuro Robotik & Sibernik, hab vokasional, pusat rawatan hening, arena dinamik, pusat akuatik dan litar latihan motor.
Pusat ini mampu memberi rawatan kepada sehingga 700 pesakit pada satu-satu masa dan berupaya memberi manfaat kepada 3,000 pesakit setahun.
Pusat Rehabilitasi ini dilengkapi dengan teknologi robotik terkini, termasuk rawatan sibernik dengan peralatan Cyberdyne Hybrid Assitive Limb (HAL), malah merupakan fasiliti dengan bilangan unit Cyberdyne HAL terbanyak di dunia.
Melalui kerjasama strategik antara PERKESO dan Cyberdyne Incorporation, Jepun, sebanyak 65 unit peralatan Cyberdyne meliputi Lower Limb, Single Joint, dan Lumbar disediakan untuk manfaat pesakit yang menerima rawatan di sini.
Dengan keupayaan teknologi tersebut, pusat ini bakal menjadi hab rujukan global bagi perkhidmatan neuro-robotik dan Pusat Kecemerlangan Rehabilitasi melalui penawaran 151 jenis perkhidmatan rehabilitasi perubatan dan vokasional komprehensif, berasaskan konsep rehabilitasi sepanjang kitaran hayat.
Antaranya ialah rehabilitasi neuro-robotik, rawatan sibernik, hidroterapi, rawatan neuromodulasi, rehabilitasi pediatrik dan geriatrik, rehabilitasi vokasional, Program Advanced Return To Work.
Antara perkhidmatan berteknologi canggih lain yang disediakan termasuklah Metamotus Galileo Advanced Biomechanics Rehabilitation Platform yang menggabungkan robotik, realiti maya dan simulasi pergerakan serta Advanced Movement Analysis Laboratory, iaitu makmal perintis di Malaysia yang menggunakan teknologi motion capture, force plates dan elektromiografi (EMG) ) untuk penilaian biomekanik berketepatan tinggi.
Pusat ini bukan sekadar sebuah pusat rawatan, tetapi sebuah ekosistem rehabilitasi menyeluruh yang menggabungkan teknologi terkini, kepakaran klinikal, latihan vokasional dan penempatan pekerjaan bagi membantu individu pulih, kembali bekerja serta menyumbang semula kepada ekonomi negara.