KUALA LUMPUR: Portal Redi2Infaq.com secara rasminya dilancarkan bersama Pusat Wakaf Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) Sdn Bhd bagi membolehkan orang ramai memberi sumbangan kepada program-program wakaf menerusi portal itu.

Pelancaran portal itu disempurnakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Idris Ahmad yang disaksikan oleh Pengerusi MAIWP, Tan Sri Mohd Daud Bakar; Ketua Pegawai Eksekutif RediPay Sdn Bhd, Adam Dahlan dan Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Wakaf MAIWP Sdn Bhd, Zainuddin Mohd Salleh, pada minggu lalu. 

Adam memberitahu, pihaknya berbesar hati atas perlantikan sebagai Al-Qayyim dan menzahirkan rasa teruja kerana berpeluang untuk memainkan peranan dalam usaha melestarikan program wakaf.

Beliau memberitahu, RediPay Sdn Bhd merupakan sebuah syarikat yang menyediakan perkhidmatan kemudahan gerbang pembayaran secara dalam talian.

"Tambahan pula, terdapat beberapa sistem perkhidmatan yang dikendalikan oleh RediPay Sdn Bhd, antaranya adalah Redi2Infaq.com, Redi2Stay.com, RediCar, RediGold dan banyak lagi.

"Namun begitu, RediPay Sdn Bhd adalah sebuah syarikat yang berlandaskan pematuhan syariah," katanya dalam kenyataan di sini, baru-baru ini.

Pada 25 Januari lalu, MAIWP melancarkan Tahun Wakaf Wilayah Persekutuan 2022 dalam meraikan tahun ini sebagai tahun mempromosikan dan melestarikan kutipan wakaf.

Usaha itu dilakukan menerusi sembilan sektor wakaf iaitu sektor perumahan, pendidikan ilmu, sosial, kecemasan, ekonomi, kesihatan, sains dan teknologi, latihan dan budaya, dengan menggunakan pendekatan elektronik dan teknologi semasa untuk membolehkan kutipan wakaf tunai dengan rakan strategik Pusat Wakaf MAIWP Sdn Bhd.

Pelantikan RediPay Sdn Bhd dan Redi2Infaq.com sebagai penyedia gerbang pendigitalan daripada Pusat Wakaf MAIWP Sdn Bhd secara tidak langsung akan mengeratkan lagi kerjasama antara kedua-dua agensi yang sudah sedia terjalin.

Atas dasar perlantikan ini, RediPay Sdn. Bhd melalui Redi2Infaq.com akan menumpukan sistem wakaf selain sistem infaq bersama Pusat Wakaf MAIWP Sdn Bhd.

Oleh itu, Redi2Infaq.com akan menjadi tunjang utama bagi Redipay Sdn Bhd menjadi Al-Qayyim (ejen kutipan wakaf tunai).