Pusat Warisan dan Tamadun India Samy Vellu yang berperanan sebagai tempat kajian dan pengumpulan sejarah masyarakat India di Malaysia, bakal diwujudkan di negeri ini, kata canselor yang juga pengasas Universiti Institut Perubatan, Sains dan Teknologi Asia (AIMST), Tun S. Samy Vellu.

Beliau berkata, pusat berkenaan dijangka mula beroperasi di Universiti Aimst pertengahan Disember ini.

"Pusat ini akan mendokumentasikan pelbagai jenis dokumen, penulisan, terbitan dan artikel berkaitan warisan dan tamadun India, fokus di Malaysia, bermula dari abad ke-11.

"Kewujudan pusat ini bukan bertujuan mengambil alih tugas muzium atau mana-mana pihak sebaliknya menyokong usaha tersebut di samping melihat jika ada kajian lain yang boleh dijalankan, khususnya melibatkan masyarakat India," katanya pada sidang media selepas merasmikan Istiadat Konvokesyen kali ke-10 Universiti Aimst, Semeling, di sini, pada Sabtu.

Hadir sama, Naib Canselor Universiti Aimst, Profesor M. Ravichandran.

Menurutnya, pusat berkenaan akan turut bekerjasama dengan agensi di dalam dan luar negara, dalam usaha mengumpul maklumat mengenai sejarah masyarakat India di negara ini.

Sementara itu, seramai 607 graduan menerima diploma, ijazah, sarjana dan doktor falsafah, dalam pelbagai program antaranya termasuklah Perubatan, Farmasi, Pergigian, Sains Gunaan, Pengurusan dan Perniagaan, Kejuruteraan dan Teknologi Komputer.

Jumlah itu termasuk 17 graduan antarabangsa iaitu dari 10 negara seperti Bangladesh, Mesir, Gabon, Guinea, India, Nigeria, Pakistan, Sri Lanka, Tanzania dan Zimbabwe.

Istiadat konvokesyen kali ini turut menyaksikan penuntut dari Fakulti Pergigian, Rachel Ng Sue Lyn, 24, terpilih menerima Anugerah Pingat Emas Universiti dan Anugerah Pelajar Perubatan Terbaik.

Pada majlis sama, lima penuntut yang sebelum ini menuntut di tiga universiti di Mesir, iaitu Hawa Aishah Abas, 24; Faizura Syahira Mohd Azmi, 24; dan Wajihah Abdul Kadir, 25 (dari Alexandria University), Shahirah Aqilah Tambalang, 24 (dari Tanta University); dan Almasunnafis Ahmad Shapiki, 25 (dari Ainshams University), yang menyambung pengajian di Universiti Aimst kira-kira empat tahun lalu, berjaya menamatkan pengajian semalam.

Hawa Aishah berkata, beliau menyambung pengajian dalam bidang perubatan di Mesir pada tahun 2011 selepas mendapat keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), atas tajaan Yayasan Pahang.

"Bagaimanapun, apabila berlaku pergolakan politik di negara terbabit, dan atas faktor keselamatan serta nasihat keluarga, saya kemudiannya memilih Universiti Aimst untuk meneruskan pengajian.

"Walaupun pada mulanya saya rasa takut tidak dapat menamatkan pengajian, namun Alhamdulillah hari ini saya berjaya menamatkan pengajian," katanya yang berhasrat menyambung pengajian di United Kingdom untuk menjadi pakar dalam merawat penyakit barah dalam kalangan kanak-kanak.

-- BERNAMA