PUTRAJAYA: Pusat Pengajian Pertahanan Nasional (Puspahanas) wajar dijadikan pusat pengajian kecemerlangan nasional yang memfokuskan kepada isu kedaulatan dan keselamatan negara, kata Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamad Hasan.

Beliau berkata ini kerana isu kedaulatan dan keselamatan negara tidak boleh dipandang ringan oleh mana-mana pihak.

"Pembentukan minda keselamatan penting ditingkatkan buat para graduan di Puspahanas selain daripada peningkatan budaya produktiviti kerja.

"Maka saya mahu lihat Puspahanas ini menjadi pilihan utama pusat pengajian keselamatan buat mereka di sektor awam dan swasta serta warganegara luar," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Graduasi Maktab Ketahanan Nasional (MKN), Maktab Pertahanan Angkatan Tentera (MPAT) dan Maktab Turus Angkatan Tentera (MTAT) 2022 melibatkan 265 graduan termasuk 40 graduan dari luar negara di Puspahanas di sini pada Sabtu.

Majlis itu merupakan julung kali diadakan serentak bagi ketiga-tiga kolej di bawah Puspahanas berkenaan.

Mohamad berkata isu kedaulatan dan keselamatan juga penting dalam menarik pelabur untuk datang ke negara ini bagi meningkatkan ekonomi negara.

"Pelabur luar sentiasa melihat dan mendengar tahap keselamatan negara kita dan tidak melabur sekiranya negara tiada kestabilan.

"Mereka tidak akan sama sekali melabur sekiranya mendapati sesebuah negara itu mempunyai konflik keselamatan," katanya.

-- BERNAMA