Skip to main content

Malaysia

PuTERA35: Naikkan standard anak muda Bumiputera ke tahap lebih tinggi

PUTERA35: NAIK STANDARD BELIA BUMIPUTERA KE ARAH EKNOMI BERNILAI TINGGI
Akmal menegaskan PuTERA35 bukan sekadar agenda pembangunan Bumiputera semata-mata, sebaliknya sebahagian daripada strategi memperkukuh keupayaan ekonomi negara secara keseluruhan.

KUALA LUMPUR: Agenda Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 (PuTERA35) kini memberi tumpuan khusus kepada usaha mengangkat standard anak muda Bumiputera agar lebih berdaya saing dan bersedia menembusi rantaian nilai ekonomi yang lebih tinggi.

Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir, berkata usaha memperkasa golongan muda tidak boleh lagi dilihat daripada sudut pemilikan semata-mata. 

Advertisement

Sebaliknya, ia perlu bermula dengan pembinaan keupayaan yang menyeluruh termasuk kemahiran pengurusan, pengukuhan model perniagaan dan akses pasaran yang lebih tersusun.

Menurut beliau, kerajaan kini menggerakkan pendekatan pembangunan berperingkat bagi memastikan usahawan muda tidak bergerak sendiri tanpa hala tuju yang jelas.

“Kalau dulu kita hanya melihat pegangan Bumiputera dari segi penguasaan pasaran saham semata-mata, kini kita sedar pemilikan itu penting, tetapi proses untuk sampai ke tahap itu lebih utama. Sebab itu kita perkenalkan pendekatan seperti ‘proses relay’, di mana setiap peringkat ada sokongan tersendiri,” katanya.

Beliau menjelaskan, daripada sekecil-kecil usaha, ruang penyertaan telah dibuka kepada anak muda dengan sokongan kerajaan disalurkan secara berstruktur. Antara agensi utama yang terlibat secara langsung ialah Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU), yang menyediakan program mengikut tahap perkembangan perniagaan usahawan.

Pendekatan ini bertujuan memastikan anak muda Bumiputera bukan sahaja menceburi bidang keusahawanan, malah mampu meningkatkan standard perniagaan dari segi tadbir urus, produktiviti dan daya tahan dalam pasaran yang semakin kompetitif.

Mengulas lanjut, Akmal menegaskan PuTERA35 bukan sekadar agenda pembangunan Bumiputera semata-mata, sebaliknya sebahagian daripada strategi memperkukuh keupayaan ekonomi negara secara keseluruhan.

Katanya, penglibatan syarikat berkaitan kerajaan serta sektor swasta amat penting dalam memperluas peluang dan meningkatkan produktiviti nasional.

“Kalau peningkatan keupayaan ini memberi manfaat kepada produktiviti syarikat dan negara, maka peluang itu akan menjadi lebih luas untuk semua. Kita juga telah gariskan sasaran untuk melahirkan 10 ‘jago’ Bumiputera dengan nilai syarikat melebihi RM500 juta,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemu bual dalam program PuTERA35 terbitan Astro AWANI.

Dengan pendekatan lebih tersusun dan strategik, PuTERA35 diharap dapat melahirkan generasi usahawan muda Bumiputera yang bukan sahaja mampu bertahan, malah berupaya menjadi peneraju dalam landskap ekonomi masa hadapan.

 

 

Must Watch Video