KUALA LUMPUR: Malaysia perlu mempercepat usaha melengkapkan tenaga kerjanya dengan kemahiran dan kepakaran yang diperlukan untuk berjaya dalam era kecerdasan buatan (AI), kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata kemajuan teknologi yang pesat sedang mengubah landskap pelbagai industri serta mewujudkan peluang baharu, sekali gus menuntut sistem pendidikan dan latihan negara menyesuaikan diri dengan perubahan tersebut.
"AI bukan sahaja akan membentuk cara perniagaan beroperasi, malah turut mengubah cara perdagangan dijalankan, penilaian kredit dibuat, risiko diuruskan serta pasaran dihubungkan merentas sempadan," katanya ketika menyampaikan ucaptama pada majlis pelancaran Pusat Pembangunan Global Ant International di sini, hari ini.
Anwar berkata kerajaan juga sedang memuktamadkan Rang Undang-Undang Tadbir Urus Kecerdasan Buatan bagi mewujudkan rangka kerja kawal selia untuk masa depan melibatkan interaksi antara manusia dan mesin. sekali gus rangka kerja itu akan melengkapi undang-undang sedia ada, termasuk Akta Keselamatan Siber dan peraturan perlindungan data.
Beliau berkata kepercayaan digital kekal menjadi asas pembinaan negara dalam era digital dan diberi keutamaan menerusi Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) serta fasa akhir Pelan Tindakan Ekonomi Digital Malaysia.
Dalam perkembangan berkaitan, Anwar berkata Malaysia perlu bertindak pantas untuk mempersiapkan golongan muda menghadapi kemunculan industri baharu dengan memperkukuh pembangunan bakat serta memperkenalkan bidang pengajian dan latihan yang bersesuaian.
Beliau berkata kerajaan sedang mempergiat usaha memastikan sistem pendidikan negara seiring dengan kepesatan perkembangan teknologi serta perubahan keperluan ekonomi global.
"Kedua-dua Majlis Digital Negara dan Majlis Pendidikan Negara baru-baru ini memberi tumpuan kepada usaha melengkapkan rakyat Malaysia dengan kemahiran yang diperlukan untuk masa depan.
"Kita mesti memastikan anak-anak dan golongan muda menerima latihan terbaik serta bersedia meneroka bidang dan peluang baharu yang sedang muncul di peringkat global," katanya.
Perdana Menteri berkata Malaysia perlu menyesuaikan diri dengan pantas terhadap perubahan teknologi supaya tidak ketinggalan dalam landskap digital yang semakin kompetitif.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Ant International atas keyakinan syarikat itu terhadap Malaysia serta sokongannya kepada usaha kerajaan membangunkan bakat tempatan dan memperluas peluang dalam ekonomi digital.
Sementara itu, Anwar berkata, teknologi, kewangan dan inovasi mesti mewujudkan pekerjaan berkualiti, memperkukuh keupayaan domestik, menyokong pertumbuhan perniagaan dan memperluas akses kepada perkhidmatan yang berpatutan ketika Malaysia meletakkan dirinya sebagai hab serantau untuk teknologi digital dan AI.
Beliau berkata, keputusan Ant International yang juga penyedia pembayaran digital, pendigitalan dan teknologi kewangan global terkemuka, untuk menubuhkan Pusat Operasi Global di Kuala Lumpur harus membantu memajukan objektif ini, dan bukan sekadar menandakan satu lagi pencapaian penting dalam pelaburan.
"Inovasi mesti kekal berteraskan pada prinsip mudah, bahawa manfaat pertumbuhan dikongsi secara meluas dan tiada komuniti yang ketinggalan.
“Ini bukan sekadar mengenai keuntungan korporat, tetapi mengenai kemajuan yang berpusatkan rakyat,” katanya.