KUALA LUMPUR: Malaysia kini mengutamakan penyaluran bantuan kemanusiaan ke Gaza melalui laluan darat di sempadan Rafah susulan pembukaan semula pintu masuk itu yang disifatkan lebih cekap dan selamat.
Timbalan Menteri Luar Datuk Lukanisman Awang Sauni berkata pembukaan laluan tersebut memberikan kaedah alternatif yang lebih baik kepada kerajaan untuk memastikan bekalan kritikal sampai terus kepada penduduk Palestin.
Sehubungan itu, beliau berkata keputusan mana-mana individu atau aktivis tempatan untuk menyertai pelayaran misi kemanusiaan seperti Global Sumud Flotilla (GSF) selepas ini adalah merupakan pilihan dan keputusan peribadi masing-masing.
“Penyertaan mereka dalam program berkenaan adalah keputusan peribadi berlandaskan prinsip individu tersebut yang ingin memperjuangkan isu-isu berkaitan Palestin dan Gaza. Kerajaan akan menyalurkan bantuan sekiranya permasalahan timbul. Memandangkan pintu telah dibuka, maka adalah elok untuk kita menghantarkan bantuan supaya ia dapat dirasai,” katanya.
Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Ahmad Saad @ Yahaya (PN-Pokok Sena) pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini mengenai perancangan pasca-misi GSF serta usaha meningkatkan sokongan dalam kalangan negara anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).
Lukanisman berkata walaupun mengutamakan laluan darat, Malaysia tetap mengiktiraf kepentingan misi pelayaran sedemikian sebagai instrumen tekanan bagi menarik perhatian media antarabangsa serta mendesak akauntabiliti rejim Israel.
Beliau berkata pelbagai bentuk bantuan Malaysia termasuk makanan, ubat-ubatan dan lampu solar telah berjaya disalurkan kepada penduduk Gaza hasil kelestarian pendekatan sedia ada.
Sementara itu, beliau berkata Wisma Putra terus memperkukuh kerjasama strategik dan tekanan diplomatik secara kolektif di peringkat pelbagai hala melalui OIC, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Kesatuan Eropah (EU).
Katanya usaha itu merangkumi pembabitan aktif Malaysia dalam pemanduan sokongan rentas sektor melalui Deklarasi Brussels 2026 yang menghimpunkan suara ahli Parlimen, tokoh politik dan masyarakat sivil dari Eropah serta Malaysia.
“Usaha digerakkan bagi membina tekanan diplomatik secara kolektif demi memastikan isu Palestin terus diberikan perhatian dan tindakan yang sewajarnya di peringkat antarabangsa,” katanya.
Terdahulu ketika menjawab soalan asal, Lukanisman berkata kerajaan mengutuk sekeras-kerasnya tindakan ganas rejim Zionis menahan peserta misi GSF 2.0, selain merakamkan penghargaan kepada kerajaan Turkiye yang membantu menyelamatkan serta membawa pulang kesemua 29 sukarelawan Malaysia dengan selamat.
-- BERNAMA