MEXICO CITY: Tuan rumah bersama, Mexico mempamerkan aksi bertenaga pada separuh masa pertama untuk menewaskan Ecuador 2-0 pada Selasa, sekali gus mengesahkan tempat ke pusingan 16 terbaik Piala Dunia FIFA, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Skuad Mexico akan beraksi sekali lagi di Mexico City dan dijadual menentang pemenang perlawanan pada Rabu antara England dengan Republik Demokratik Congo (DR Congo).
Memanfaatkan sokongan padu penyokong, Mexico kelihatan sukar disekat dalam 45 minit pertama perlawanan, yang bermula lewat satu jam daripada jadual asal susulan keadaan cuaca buruk.
Pasukan tuan rumah mendahului menerusi jaringan Julian Quinones pada minit ke-22, gol pertamanya dalam kejohanan tahun ini.
Quinones menyambut bola lalu meluru ke dalam kotak penalti, menukar haluan ke kanan sebelum melepaskan rembatan kencang ke penjuru gawang.
Raul Jimenez menggandakan kelebihan pada minit ke-31 selepas benteng pertahanan lawan kucar-kacir. Ecuador seolah-olah menghadiahkan bola kepada Jimenez di luar kotak penalti dan Jimenez melakukan gerakan satu-dua dengan Quinones sebelum melepaskan rembatan yang menerjah jaring.
Rentak permainan menjadi perlahan selepas rehat dan peluang terbaik Mexico untuk menambah gol ketiga hadir pada minit ke-67, apabila voli Jimenez dihalang manakala tandukan Cesar Montes hasil sepakan penjuru ditepis keluar oleh penjaga gol Hernan Galindez.
Penyertaan Ecuador dalam Piala Dunia berakhir dengan kad merah yang tidak sepatutnya apabila Piero Hincapie dibuang padang selepas beliau menutup mulut ketika bertengkar dengan Santiago Gimenez.
-- BERNAMA-dpa