Masuk hari ke 10 operasi mencari dan menyelamat (SAR) pesawat Air Asia Indonesia QZ8501 memfokuskan pencarian bahagian terbesar pesawat tersebut.

Menurut Ketua Badan SAR Nasional (BASARNAS) Bambang Soelistyo, ia menjadi fokus utama buat masa ini kerana bermungkinan masih banyak jasad mangsa yang terperangkap di dalamnya, lapor detik.com.

“Pertimbangan ini kami buat kerana apabila bahagian terbesar pesawat ditemui, mangsa nahas yang kemungkinan dapat dijumpai dalam jumlah yang besar.

"Kita lakukan tugas yang sukar dahulu, baru melangkah ke tahap berikutnya,” katanya kepada pemberita di Jakarta Pusat, pada Selasa.

Setakat ini BASARNAS mengesahkan 37 mayat telah ditemui dan daripada itu sembilan mayat telahpun diserahkan kepada waris masing-masing.

Operasi SAR yang dikendalikan BASARNAS mendapat bantuan beberapa buah negara termasuk Malaysia.

Pesawat yang membawa 162 penumpang dan anak kapal itu berlepas dari Surabaya pada 5.35 pagi dan dijadual tiba di Singapura pada 8.20 pagi hari yang sama (28 Dis).

Penumpang pesawat itu terdiri daripada 149 orang warga Indonesia, Korea Selatan (tiga) dan masing-masing seorang rakyat Singapura, Malaysia dan United Kingdom.

Krunya pula terdiri daripada enam warga Indonesia dan seorang Perancis.