Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak (JPVS) menyuntik vaksin kepada 17,844 ekor haiwan kesayangan dalam usahanya membendung penularan wabak rabies atau anjing gila di negeri ini.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak berkata daripada jumlah itu, anjing merupakan haiwan terbanyak diberikan vaksin iaitu sebanyak 10,204 ekor diikuti kucing (7,595 ekor) dan lain-lain haiwan 45 ekor.

"Jumlah 17,844 ekor itu termasuk pemvaksinan anjing di Padang Bola Keranjang, Batu 7 dekat sini mulai 10 pagi tadi hingga 4 petang ini. Seramai 1,799 orang pemilik anjing membawa 3,604 ekor untuk divaksin," kata sekretariat itu dalam kenyataan di sini, hari ini.

JPVS juga mengadakan sebanyak 109 kempen kesedaran mengenai wabak Rabies di kampung-kampung dan sekolah di kawasan terlibat dengan ia dihadiri oleh 21,411 peserta.

Selain itu, secara kumulatif dari 2 Julai hingga 24 Julai, sebanyak 352 kes gigitan baru dikesan di negeri ini.

Di Bahagian Serian, sebanyak 23 kes gigitan dilaporkan hari ini menjadikan kes kumulatif gigitan anjing sejak 1 April hingga ke hari ini adalah 805 kes.

"Seramai 482 orang datang untuk menerima suntikan vaksin. Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak sedang berusaha menghubungi mereka yang masih belum mendapatkan suntikan vaksin," kata sekretariat itu.

Sementara itu, JPBN Sarawak membuat satu laporan polis berhubung penularan maklumat tidak tepat mengenai kawasan yang diwartakan sebagai wabak Rabies.

Pegawai Angkatan Pertahanan Awam (APM) Sarawak Mejar (PA) Ismail Mahedin yang juga sekreatariat JBPN Sarawak membuat laporan itu di Balai Polis Tebedu, Serian petang ini setelah JPBN menerima aduan tentang penyebaran maklumat tidak tepat menerusi laman sosial dan aplikasi WhatsApp yang mendakwa kawasan diisytihar wabak Rabies melebihi 20 kawasan.

"Laporan polis ini dibuat supaya Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) memulakan siasatan," katanya.

Setakat semalam, JPBN Sarawak mewartakan 20 kawasan di Sri Aman, Serian, Tebedu dan Kuching sebagai kawasan wabak Rabies, yang setakat ini meragut nyawa empat kanak-kanak dan seorang lelaki dewasa di Serian.

--BERNAMA