KUALA LUMPUR: Penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat isu membabitkan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki, antara tuntutan utama yang disuarakan dalam perhimpunan ‘Tangkap Azam Baki’, petang Sabtu.
Bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli, berkata penubuhan RCI penting bagi merungkai sepenuhnya dakwaan yang bukan sahaja melibatkan individu berkenaan, malah menyentuh isu lebih besar termasuk pengaruh yang didakwa sebagai ‘mafia korporat’ terhadap institusi negara.
Advertisement
“Tuntutan daripada sekretariat ‘Tangkap Azam Baki’ adalah konsisten, iaitu penubuhan RCI untuk menyiasat bukan sahaja mengenai Azam, tetapi juga mengenai ‘corporate mafia’ supaya kita dapat merungkai segala dakwaan.
“Kita juga menuntut supaya beliau disiasat secara telus berhubung isu pemilikan saham, selain laporan berkaitan perlu didedahkan kepada umum,” katanya kepada pemberita selepas perhimpunan tersebut, di sini, pada Sabtu.
Rafizi berkata kelewatan pendedahan laporan siasatan hanya menimbulkan persepsi negatif serta meningkatkan kebimbangan berhubung kemungkinan berlakunya unsur penutup kes.
“Faktanya, selepas kira-kira dua bulan, kerajaan masih berlengah-lengah mengenai laporan itu, dan ini jelas menunjukkan ada sesuatu yang tidak kena. Semakin lama ia ditangguhkan, semakin ia menguatkan kecurigaan… kita bimbang wujud ‘penutup kes’ terhadap tuduhan-tuduhan tersebut,” katanya.
Ahli Parlimen Pandan itu turut menegaskan keperluan reformasi institusi, khususnya dari segi pelantikan Ketua Pesuruhjaya SPRM yang menurutnya perlu melalui proses Parlimen bagi menjamin ketelusan.
“Pelantikan itu mesti melalui proses Parlimen, termasuk penilaian calon dan undian, sebelum diangkat untuk perkenan Yang di-Pertuan Agong,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Rafizi turut membangkitkan dakwaan membabitkan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R Ramanan, yang didakwa ‘menerima’ wang berjumlah RM9.5 juta.
“Dakwaan itu dibuat secara terbuka, namun sehingga kini masih belum ada sebarang reaksi atau siasatan rasmi. Sekurang-kurangnya siasatan perlu dijalankan bagi memastikan ketelusan dan menjawab segala persoalan,” katanya.