Skip to main content

Malaysia

Raja Muda Kedah ziarah Aulia Sofea, keadaan kesihatan kanak-kanak semakin baik

KEPALA BATAS, 18 Julai -- Raja Muda Kedah Tengku Sarafudin Badlishah Ibni Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin bersama Raja Puan Muda Kedah Che Puan Muda Zaheeda Mohamad Ariff dan anakanda mereka Tunku Zara Bahiyah berkenan bergambar bersama adik Aulia Sofea Ahmad Shafiq, 3 serta anggota keluarga penjaganya di Taman Bertam Putra hari ini.  Aulia terselamat dalam kemalangan jalan raya yang mengorbankan enam ahli keluarganya termasuk ibu bapa dan adiknya di Sungai Petani bulan lepas.  -- fotoBERNAMA (2026) HAK
Aulia (tengah) menerima kunjungan Tengku Sarafudin (dua dari kiri) dan keluarga di rumah ibu saudaranya di Bertam, Kepala Batas. - Foto Bernama
Advertisement

KEPALA BATAS: Kanak-kanak perempuan yang terselamat dalam kemalangan jalan raya yang mengorbankan enam ahli keluarganya di Sungai Petani, Kedah bulan lepas, menunjukkan perkembangan kesihatan yang semakin baik dan kini berada di bawah jagaan ibu saudaranya di Bertam, di sini.

Siti Nor Atikah Ahmad Syukri, 32, berkata anak saudaranya itu, Aulia Sofea Ahmad Shafiq, 3, dibenarkan pulang dari Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, Kedah pada 2 Julai lepas setelah menerima rawatan selama hampir sebulan dan kini semakin aktif seperti kanak-kanak lain.

Bagaimanapun, suri rumah itu berkata Aulia Sofea masih belum dapat berjalan kerana kedua-dua belah kakinya patah akibat kemalangan tersebut.

"Kalau ikut keadaan Aulia Sofea selepas kemalangan itu memang 50-50. Bagi kami, ia seperti satu keajaiban kerana pada awalnya kami sendiri menyangka peluangnya untuk terus hidup sangat tipis, perkembangan kesihatannya cepat dan semakin baik.

"Dia pun aktif macam budak-budak biasa, cuma tidak boleh berjalan lagi sebab kedua-dua kakinya patah dan 26 Julai ini ada janji temu dengan pakar ortopedik untuk pemeriksaan lanjut," katanya kepada pemberita di rumahnya di Taman Bandar Bertam Putra, di sini hari ini.

Terdahulu, Raja Muda Kedah Tengku Sarafudin Badlishah Ibni Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin bersama-sama Raja Puan Muda Kedah Che Puan Muda Zaheeda Mohamad Ariff serta anakanda baginda berdua Tunku Zara Bahiyah berkenan berangkat menziarahi Aulia Sofea.

Dalam kunjungan itu, Raja Muda Kedah serta keluarga turut menyampaikan sumbangan keperluan asas bagi membantu keluarga yang menjaga Aulia Sofea, selain akaun Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) untuk kanak-kanak itu turut dibuka sebagai persediaan demi masa depan pendidikannya.

Siti Nor Atikah, yang juga kakak kepada bapa Aulia Sofea, berkata selain mengalami patah pada kedua-dua belah kaki, anak saudaranya itut mengalami kecederaan di bahagian kepala dan mata kiri selepas bebola matanya pecah akibat impak kemalangan.

Beliau berkata doktor berjaya melakukan pembedahan bagi menyelamatkan mata kiri Aulia Sofea, namun tahap penglihatannya masih belum dapat dipastikan dan hanya akan diketahui selepas pemeriksaan susulan.

"Doktor memaklumkan kemungkinan dia boleh melihat semula, tetapi penglihatannya mungkin kabur atau mungkin juga tidak dapat melihat langsung, kami masih menunggu keputusan pemeriksaan lanjut," katanya yang tidak pernah menyangka akan menjaga anak saudaranya itu selama-lamanya.

Siti Nor Atikah yang turut kehilangan anak bongsunya Iskandar Affan Ibrahim, 7, dalam kemalangan sama berkata seluruh keluarga bersyukur melihat perkembangan positif Aulia Sofea yang disifatkan sebagai satu keajaiban.

Image
AULIA SOFEA AHMAD SHAFIQ
Raja Puan Muda Kedah Che Puan Muda Zaheeda Mohamad Ariff (kiri) berkenan melayani gelagat adik Aulia Sofea Ahmad Shafiq, 3, di Taman Bertam Putra hari ini. - Foto Bernama

Katanya, Aulia Sofea sedar kira-kira dua minggu selepas kemalangan ngeri itu dan mengetahui bahawa ibu bapanya telah meninggal dunia, malah keluarga turut membawanya menziarahi pusara ibu bapa dan adik kanak-kanak tersebut. 

Siti Nor Atikah juga menjunjung kasih kepada Raja Muda Kedah, Raja Puan Muda Kedah dan Tunku Zara Bahiyah kerana sudi mencemar duli menziarahi Aulia Sofea dan menyifatkan keberangkatan itu sebagai cerminan keprihatinan institusi diraja terhadap kebajikan rakyat yang ditimpa musibah.

Sementara itu, suami Siti Nor Atikah, Ibrahim Ghazali, 39, berkata mereka berhasrat menjaga Aulia Sofea sehingga dewasa kerana menganggap kanak-kanak itu seperti anak sendiri dan ketika ini mereka sedang menunggu proses mendapatkan hak penjagaan Aulia Sofea.

"Sebenarnya, anak-anak kami semua, iaitu sepupu Aulia Sofea memang rapat antara satu sama lain, jadi Aulia Sofea seronok tinggal di sini sebab sepupu dia yang lain pun selalu datang berkumpul di sini," katanya yang bekerja sebagai pemandu lori.

Dalam kejadian kira-kira 3.50 petang pada 7 Jun lepas, kenderaan utiliti sukan (SUV) Proton X50 terbabit dalam kemalangan dengan lori membawa muatan tanah ketika dalam perjalanan dari Pulau Pinang ke Merbok untuk menziarahi kubur ahli keluarga mereka.

Dalam kejadian itu, ibu bapa Aulia Sofea, Jamaliah Sannusi, 29, dan Ahmad Shafiq Ahmad Shukri, 27, serta adiknya, Ahmad Mikail yang berusia dua bulan, maut bersama-sama neneknya, Nora Mhd Husin, 55, bapa saudara Ahmad Fahim Ahmad Shukri, 21, serta sepupunya, Iskandar Affan.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement