Skip to main content

Malaysia

Raja Permaisuri Agong, isteri Presiden Singapura lawat Pusat Perkhidmatan Autisme Bangi

KDYMM SPB Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah berkenan berangkat mengiringi isteri Presiden Singapura, Puan Jane Ittogi Shanmugaratnam, dalam lawatan ke Pusat Perkhidmatan Autisme (PPA) Bangi, hari ini (14 Julai).  -- FB Sultan Ibrahim Sultan Iskandar
Ketibaan Jane Ittogi di pusat berkenaan disambut Raja Permaisuri Agong dan Tunku Tun Aminah Sultan Ibrahim. - Foto FB Sultan Ibrahim Sultan Iskandar
Advertisement

KUALA LUMPUR: Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah berkenan berangkat mengiringi isteri Presiden Singapura Jane Ittogi Shanmugaratnam dalam lawatan ke Pusat Perkhidmatan Autisme (PPA) Bangi, dekat sini hari ini.

Menurut hantaran di Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, lawatan tersebut diadakan sempena Lawatan Negara Presiden Singapura Tharman Shanmugaratnam ke Malaysia yang bermula semalam.

Ketibaan Jane Ittogi di pusat berkenaan disambut Raja Permaisuri Agong dan Tunku Tun Aminah Sultan Ibrahim.

Turut hadir menyambut delegasi tersebut ialah isteri Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Sri Nancy Shukri serta Timbalannya Lim Hui Ying.

Hadir sama Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Wanita dan Masyarakat (KPWKM) Datuk Dr Maziah Che Yusoff serta Ketua Pengarah Kebajikan Masyarakat Datuk Che Murad Sayang Ramjan.

Raja Permaisuri Agong bersama-sama Jane Ittogi kemudian meninjau beberapa kemudahan utama pusat tersebut termasuk Bilik Aktiviti Kehidupan Harian, Bilik Terapi Cara Kerja dan gimnasium bagi melihat sendiri pendekatan holistik serta latihan kemahiran harian yang dilaksanakan.

Menurut hantaran itu, Nancy dalam persembahan ucapan alu-aluan memaklumkan hingga Jun lepas, sebanyak 93,199 individu autisme telah berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Beliau berkata angka tersebut dijangka terus meningkat selaras dengan peningkatan kesedaran masyarakat serta akses kepada perkhidmatan saringan dan diagnostik.

Lawatan yang berakhir sekitar jam 11.30 pagi itu bukan sahaja memperkukuh hubungan persahabatan antara Malaysia dan Singapura, malah membuka ruang kepada perkongsian amalan terbaik dalam pembangunan perkhidmatan sosial.

PPA Bangi dikendalikan menerusi kerjasama strategik antara sektor awam dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), iaitu Pertubuhan Kebangsaan Autisme Malaysia (NASOM) dan Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) Damansara Damia.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement