Raja-Raja Melayu berangkat meninggalkan Istana Negara, didahului dengan Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin pada pukul 1 petang tadi.

Media tidak dimaklum namun dipercayai Mesyuarat Khas Majlis Raja-Raja yang bermula pada pukul 11.30 pagi tadi sudah selesai.

Selain Sultan Mizan, kenderaan yang dilihat berangkat meninggalkan Istana Negara adalah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dan kenderaan rasmi Istana Perlis.

Sementara kenderaan rasmi Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah dilihat berangkat meninggalkan perkarangan istana pada pukul 1.23 tengah hari.

Terdahulu, mesyuarat khas tersebut dipercayai berlangsung bagi mencari penyelesaian berhubung kemelut politik negara.

Perdana Menteri Interim, Tun Dr Mahathir Mohamad pada Khamis mengesahkan persidangan khas Dewan Rakyat akan diadakan pada 2 Mac bagi menentukan calon yang mendapat majoriti untuk menjadi Perdana Menteri baharu.

Bagaimanapun, Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan tiada mesyuarat khas Dewan Rakyat akan berlangsung pada Isnin ini.