Raja Salman bin Abdulaziz Al Saud malam ini dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Persuratan oleh Universiti Malaya (UM) bagi menghargai sumbangan baginda dalam memastikan kesejahteraan sejagat.

Raja Arab Saudi itu menerima ijazah kehormat berkenaan daripada Canselor UM Sultan Perak Sultan Nazrin Shah dalam istiadat konvokesyen khas di Dewan Tunku Canselor di universiti berprestij dan tertua negara itu.

Ketika membacakan pidato penganugerahan, Naib Canselor UM Tan Sri Profesor Dr Mohd Amin Jalaluddin berkata: "UM berbesar hati menamakan Raja Salman sebagai penerima Ijazah Kehormat Doktor Persuratan bagi menghargai sumbangan baginda khususnya dalam pembangunan ummah dan kemanusiaan sejagat."

Raja Salman kini melakukan lawatan negara empat hari ke Malaysia sejak semalam atas undangan Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V.

Baginda ditabalkan sebagai Raja Arab Saudi ketujuh pada 23 Jan 2015.

Dalam kenyataan UM mengenai penganugerahan itu, Dr Mohd Amin berharap ia dapat mengukuhkan hubungan antara kedua-dua negara di bidang penyelidikan dan pertukaran kakitangan akademik.

"Ia dijangka membuka lembaran baharu dalam hubungan yang sudah lama terjalin antara institusi pendidikan tinggi tempatan dan di Arab Saudi," kata Dr Mohd Amin.

-- BERNAMA