GERIK: Bekas pekerja pembinaan Jalan Raya Timur Barat (JRTB) (FT004) yang terlibat dalam peristiwa serangan komunis pada 1974, menyifatkan pemberian saguhati yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai penghargaan bagi mengenang jasa mereka.

Mohamad Sarif Long, 76, berkata pemberian saguhati itu merupakan kali pertama diterimanya daripada kerajaan selepas hampir lima dekad kejadian serangan komunis tersebut yang menyebabkan tiga pekerja pembinaan JRTB terkorban.

"Peristiwa berdarah itu memang tidak boleh dilupakan hingga hari ini dan saya begitu terharu menerima penghargaan ini," katanya ketika ditemui pemberita pada Program Setia Bakti Jalan Raya Timur Barat (FT004) di Jeti Awam Pulau Banding di sini hari ini.

Terdahulu, Perdana Menteri menyampaikan cenderamata kenangan kepada 37 bekas pekerja pembinaan laluan itu yang hadir termasuk Mohamad Sarif dan meluluskan pemberian saguhati RM1,000 kepada 87 keluarga bekas pekerja yang terkesan akibat serangan komunis.

Bercerita lanjut, Mohamad Sarif berkata ketika kejadian beliau bersama lima rakan sedang melakukan kerja-kerja pembinaan di jalan itu sebelum diserang pengganas komunis dari arah bukit.

Menurut bapa kepada enam anak itu, beliau terselamat kerana sempat bersembunyi di bawah lori Jabatan Kerja Raya (JKR) selama kira-kira dua jam sebelum bantuan daripada askar tiba.

"Lori yang kami naiki berada di tengah jalan dan tembak-menembak berlaku antara pengganas komunis di atas bukit dengan pasukan tentera di bawah gaung.

"Selepas serangan tamat, saya lihat banyak darah dan paling menyedihkan apabila rakan pemandu iaitu Ismail, serta Ali yang hendak bercuti dan Husin yang hendak bertunang maut terkena tembakan. Saya dan dua rakan sahaja yang terselamat dalam kejadian itu," katanya.

Perdana Menteri menyampaikan momento penghargaan Setia Bakti MyJalan kepada Mohamad Sarif Long (tiga, kanan) pada majlis pelancaran Kempen MyJalan Kementerian Kerja Raya di Jeti Awam Pulau Banding hari ini. - Gambar/ Bernama

Mohamad Sarif yang berasal dari Johor, berkata selepas kejadian itu beliau dirawat di Hospital Gerik dan hingga kini masih trauma kerana sering dibayangi keadaan rakan-rakan yang meninggal dunia serta dirinya sendiri yang nyaris terkorban ketika insiden itu.

Pada 21 Mei 1974, serangan pengganas komunis telah memusnahkan puluhan unit jentera berat, manakala serangan pada 27 Ogos tahun yang sama menyebabkan tiga pekerja JKR terbunuh semasa bekerja membina laluan itu.

Ratusan anggota daripada unit keselamatan turut gugur antara 1968 hingga 1989 semasa pembinaan jalan raya itu, yang dianggap sebagai 'Lebuhraya Pertahanan' kerana pembinaannya sebagai antara strategi melumpuhkan pergerakan pengganas komunis pada era pascakemerdekaan Tanah Melayu.

JRTB akhirnya berjaya dibuka kepada orang awam pada Julai 1982 selepas melalui pelbagai cabaran dan ancaman oleh komunis selama hampir 12 tahun dan bagi mengenang peristiwa serta pengorbanan mereka yang terlibat dalam pembinaan laluan itu, sebuah Tugu Peringatan JRTB telah dibina.

-- BERNAMA