NEW DELHI: Rakyat Bangladesh akan menunaikan tanggungjawab mengundi dalam kawalan keselamatan ketat pada Khamis dalam pilihan raya parlimen pertama sejak bekas Perdana Menteri, Sheikh Hasina digulingkan pada Ogos 2024.
Hampir sejuta anggota keselamatan, termasuk lebih 100,000 daripada angkatan tentera Bangladesh, dikerahkan bagi mengekalkan ketenteraman sepanjang Pilihan Raya Umum ke-13 itu.
Advertisement
Rasuah, isu keselamatan dan ketenteraman awam serta pengangguran antara isu utama memandangkan rejim terdahulu didakwa bersifat menindas dan korup.
Hasina, yang kini menetap di India, bersama bekas sekutunya di luar negara, gagal menggerakkan sokongan menentang pilihan raya itu, yang menyaksikan parti pimpinannya, Liga Awami, dilarang bertanding oleh kerajaan interim.
Seramai 2,028 calon, termasuk 83 wanita, daripada 50 parti politik serta calon bebas bertanding di 299 daripada 300 kawasan parlimen, menurut pegawai Suruhanjaya Pilihan Raya.
Selain memilih anggota baharu Jatiya Sangsad (Parlimen kebangsaan), rakyat juga akan mengundi dalam satu referendum mengenai reformasi politik.
“Menerusi referendum ini, rakyat Bangladesh akan menyatakan pendirian jelas mereka mengenai struktur negara dan sistem tadbir urus pada masa depan,” kata Ketua Penasihat kerajaan interim, Muhammad Yunus dalam laporan media kerajaan.
“Menjadi tanggungjawab moral dan perlembagaan kita semua untuk memastikan referendum dan pilihan raya Jatiya Sangsad ini berlangsung sebagai pengalaman demokrasi yang meriah, bebas daripada ketakutan, serta memberikan pengalaman demokrasi dengan penuh semangat dan berwibawa bagi setiap pengundi,” katanya.
Kali terakhir Bangladesh mengadakan pilihan raya parlimen pada Januari 2024, selepas itu Hasina menjadi perdana menteri untuk penggal keempat berturut-turut.
Beliau didakwa menipu pilihan raya dan memenjarakan lawan politik bagi melanjutkan tempoh pemerintahannya.
Sistem kerajaan sementara berkecuali yang diwujudkan sejak 1990-an untuk mengendalikan pilihan raya dimansuhkan di bawah pentadbirannya pada 2011.
Bangladesh menjemput pemerhati dari Malaysia, China, Indonesia, Pakistan, Sri Lanka, Turkiye, Uzbekistan, Kesatuan Eropah dan beberapa negara serta organisasi lain.
Mereka ditempatkan di seluruh Bangladesh untuk memantau proses pilihan raya yang melibatkan kira-kira 128 juta pengundi berdaftar.
Sebanyak 42,779 pusat mengundi disediakan di seluruh negara.
“Penyertaan media dan pemerhati akan memainkan peranan penting dalam memastikan ketelusan maksimum serta keyakinan awam terhadap pilihan raya ini,” kata Ketua Pesuruhjaya Pilihan Raya, A.M.M. Nasir Uddin.
Persaingan utama adalah antara Parti Nasionalis Bangladesh (BNP) yang dipimpin oleh Tarique Rahman, anak kepada bekas Perdana Menteri, Allahyarham Khaleda Zia dan parti Jamaat-e-Islami yang diterajui tokoh politik veteran, Shafiqur Rahman, yang merupakan sebahagian daripada pakatan pelbagai parti.
“Marilah kita tunjukkan kepada dunia bahawa Bangladesh ialah sebuah demokrasi yang matang,” kata ketua Jamaat-e-Islami itu pada Rabu.
Wartawan asing juga hadir dalam jumlah yang ramai.
-- BERNAMA