NATIONAL
Rakyat diseru hargai dan pelihara kepelbagaian budaya - Aaron

Aaron berkata sambutan itu bertujuan menggalakkan dialog antara budaya, membina saling pengertian dan menyemai toleransi dalam kalangan masyarakat berbilang latar belakang. - Gambar Kementerian Perpaduan Malaysia
KUALA LUMPUR: Rakyat Malaysia diseru agar terus menghargai, memelihara dan meraikan kekayaan budaya dalam masyarakat majmuk negara ini, kata Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang.
Beliau berkata Malaysia merupakan sebuah negara yang unik kerana didiami masyarakat pelbagai kaum, etnik, bahasa dan kepercayaan, dengan kepelbagaian itu bukan sahaja tidak menghalang kemajuan, malah menjadi aset strategik yang memperkayakan identiti nasional.
"Sempena Hari Kepelbagaian Budaya Sedunia yang disambut pada 21 Mei setiap tahun, saya ingin menyeru seluruh rakyat Malaysia agar terus menghargai, memelihara dan meraikan kekayaan budaya.
"Dalam dunia hari ini yang semakin terpolarisasi oleh sentimen perkauman, ekstremisme dan fahaman identiti sempit, kita perlu tampil sebagai model masyarakat majmuk yang harmoni, berpaksikan nilai kesederhanaan (moderation), saling menghormati dan dialog terbuka," katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.Menurut beliau, Hari Kepelbagaian Budaya Sedunia diperkenalkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 2002 sebagai pengiktirafan terhadap peranan budaya dalam membentuk keamanan, kelestarian dan pembangunan.
Aaron berkata sambutan itu bertujuan menggalakkan dialog antara budaya, membina saling pengertian dan menyemai toleransi dalam kalangan masyarakat berbilang latar belakang.
Beliau berkata tradisi Melayu, warisan Cina, kebudayaan India, adat peribumi Sabah dan Sarawak serta pelbagai komuniti minoriti menyumbang kepada kepelbagaian dalam aspek makanan, seni, pakaian, upacara keagamaan, muzik, tarian dan bahasa yang menjadikan Malaysia dikenali di peringkat antarabangsa.
"Kesederhanaan bukan sekadar prinsip, tetapi pendekatan hidup yang menolak sikap melampau dan memilih jalan tengah yang seimbang. Dalam kepelbagaian, kita perlu menanam nilai penerimaan dan memahami bahawa perbezaan bukan ancaman, tetapi kekuatan yang menyatukan.
"Melalui penghormatan antara komuniti dan komunikasi terbuka, kita dapat meleraikan salah faham, membina empati dan memperkukuh ikatan sebagai rakyat Malaysia yang bersatu dalam kepelbagaian," katanya.
Beliau berkata sambutan Hari Kepelbagaian Budaya Sedunia seharusnya menjadi pemangkin kepada usaha menyemai kefahaman merentas budaya, memperkasa dialog antara komuniti serta mengukuhkan jati diri rakyat Malaysia sebagai bangsa bersatu dalam kepelbagaian.
Pada masa sama, beliau menyeru rakyat agar terus memelihara dan menyuburkan khazanah budaya negara demi masa depan Malaysia yang lebih aman, makmur dan harmoni.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami