MALAYSIA
Rakyat Johor akan nikmati hasil pendapatan JS-SEZ - Onn Hafiz

Onn Hafiz (tengah) ketika menyampaikan Insentif Memperkasa Komuniti Felda Negeri Johor 2025 ketika perasmian JOJ@Daerah Kluang, di TMIYC Renggam. - Foto BERNAMA
KLUANG: Kerajaan Negeri Johor akan memastikan hasil pendapatan daripada pembangunan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) dapat dimanfaatkan seluruh rakyat negeri itu dan tidak tertumpu di kawasan sekitar zon berkenaan sahaja.
Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata setiap sen hasil daripada JS-SEZ akan disalurkan menerusi pelbagai insentif yang dirancang kerajaan negeri agar dinikmati rakyat di semua daerah.
Beliau berkata tidak mustahil perkara itu menjadi kenyataan memandangkan aktiviti ekonomi dijangka semakin rancak dengan kewujudan zon berkenaan, sekali gus mampu menjana pendapatan lumayan kepada negeri.
"Kita lihat kepimpinan kerajaan negeri kini memberikan tumpuan kepada aktiviti di JS-SEZ. Pada masa sama, rakyat juga dimaklumkan yang kita (kerajaan negeri) akan memperoleh hasil banyak daripadanya."Jadi, apabila hasil negeri dapat ditingkatkan...kerajaan negeri akan salurkannya untuk pembangunan yang menyeluruh," katanya ketika berucap merasmikan Program Jelajah Orang Johor (JOJ)@Daerah Kluang di TMIYC Renggam di sini pada Sabtu.
Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan Mohd Hairi Md Shah serta Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Lee Ting Han.
Sementara itu, Onn Hafiz berkata kerajaan negeri yakin mampu mencapai kutipan terimaan hasil berjumlah RM2.5 bilion menjelang akhir tahun ini.
"Peningkatan daripada RM2.1 bilion yang diraih tahun lepas bukan hanya dilihat pada nilai angka semata-mata, sebaliknya kita akan terus komited untuk menterjemahkannya dengan merangka pelbagai inisiatif baharu," katanya
Pada masa sama, beliau menekankan bahawa ilmu dan pendidikan perlu diterapkan dalam usaha membangunkan Johor agar seiring dengan kepesatan pembangunan serta kemajuan sedang berlaku di negeri itu.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami