Rakyat Kedah yang terkesan dengan pandemik COVID-19 bakal terima bantuan tunai khas menerusi Pakej Rangsangan Ekonomi yang dirangka Kerajaan Negeri.

Perkara itu diumumkan Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir yang memaklumkan setiap individu akan terima bantuan wang tunai sebanyak RM300 secara ‘one off' (sekali bayaran).

Menurut beliau, seramai 22,579 permohonan telah diterima melalui pusat-pusat khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN).

Kerajaan Negeri, kata beliau, telah menetapkan kuota seramai 700 penerima bagi setiap kawasan DUN.

Mukhriz berkata, bantuan ini akan dikreditkan terus ke akaun penerima yang layak bermula 13 Mei ini secara berperingkat.

Bagi penerima yang tidak mempunyai akaun bank, bantuan khas ini, katanya, akan disampaikan secara tunai melalui ADUN ataupun Penyelaras DUN.

Jelas Mukhriz dengan bantuan khas tunai ini dapat mengurangkan beban kewangan rakyat yang terkesan akibat penularan wabak COVID-19.