IPOH: Keputusan UMNO untuk bertanding secara bersendirian menggunakan logo Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) tidak menjejaskan perjalanan pentadbiran kerajaan Perak.

Setiausaha Pas Perak, Mohd Akmal Kamaruddin berkata, hubungan antara barisan Exco yang terdiri daripada parti UMNO, Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dengan Menteri Besar sangat baik.

Malah, katanya, hubungan dalam kalangan Ahli Majlis sehingga ke peringkat Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK)  juga harmoni.

Justeru, beliau yang juga Exco Kerajaan Perak berharap hubungan antara ketiga-tiga parti itu berkekalan sehingga dan selepas pada PRU15.

“Apa yang kita harapkan kerjasama yang berlaku pada  hari ini berkekalan sehingga PRU15. Itu harapan besar daripada kita dan saya yakin ia bukan sahaja harapan besar daripada pihak Pas sahaja tetapi juga harapan daripada rakyat.

“Rakyat mahukan kita semua dari pihak parti-parti besar Melayu-Islam ini terus bekerjasama seperti yang berlaku hari ini,” katanya ketika ditemui pemberita pada Seminar Pematuhan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 di sini pada Selasa.

Pada Ahad, ketika merasmikan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2020),  Presidennya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memutuskan bahawa partinya akan bertanding secara bersendirian dengan menggunakan logo BN pada PRU-15.

Sementara itu, Mohd Akmal berkata, Pas Perak bersedia dan akan akur dengan sebarang keputusan pucuk pimpinan parti di peringkat pusat berhubung sebarang kemungkinan susulan keputusan UMNO itu.

“Pas Perak sentiasa bersedia dalam apa juga kemungkinan dan kita sudah mula menggerakkan jentera parti di setiap peringkat untuk bersiap sedia bagi menghadapi sebarang kemungkinan,” katanya.