Skip to main content

Malaysia

Rakyat Malaysia bakal nikmati data 10GB percuma sempena HKHM 2026 - Fahmi

PUTRAJAYA, 12 Ogos -- Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil (tengah) bercakap kepada media selepas Majlis Penyerahan Sumbangan Penajaan Rakan Strategik Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2026 di Menara Komunikasi hari ini.  Kelihatan ialah timbalannya, Teo Nie Ching (kiri) dan Ketua Setiausaha Kementrian Komunikasi Datuk Abdul Halim Hamzah (kanan).  --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Fahmi berkata, inisiatif dengan kerjasama lima syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi itu bakal dimanfaatkan oleh semua pengguna prabayar dan pascabayar warganegara yang layak. - Foto Bernama
Advertisement

KUALA LUMPUR: Rakyat Malaysia bakal menikmati Insentif Rebat RAHMAH HKHM 2026, iaitu 10GB data secara percuma sempena Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) tahun ini.

Menterinya, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, inisiatif dengan kerjasama lima syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi (CelcomDigi, Maxis, TM, U Mobile dan YES) itu bakal dimanfaatkan oleh semua pengguna prabayar dan pascabayar warganegara yang layak.

Pemberian data percuma itu, ujarnya lagi, akan disalurkan dalam dua fasa, iaitu 5GB pada Hari Kebangsaan (31 Ogos) dan 5GB lagi pada Hari Malaysia (16 September).

"Perincian kaedah dan tempoh penebusan akan diumumkan oleh syarikat telekomunikasi terlibat, manakala Soalan Lazim (FAQ) berkaitan akan dimuat naik di laman web Kementerian Komunikasi dalam masa terdekat," katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Sumbangan Penajaan oleh Rakan Strategik HKHM 2026 di Menara Komunikasi, Putrajaya, pada Rabu.

Dalam majlis sama, Fahmi turut mengumumkan nilai keseluruhan penajaan bagi HKHM 2026 setakat ini mencecah RM48.63 juta, merangkumi sumbangan daripada 139 rakan strategik sektor swasta dan korporat.

Antara penyumbang utama sambutan tahun ini termasuk Astro yang tampil sebagai Penaja Platinum menerusi sumbangan penajaan bernilai RM7 juta, sekali gus memperkukuh komitmen syarikat media berkenaan dalam menyemarakkan sambutan bulan kebangsaan menerusi pelbagai platform penyiaran dan promosi berimpak tinggi.

Jumlah itu menunjukkan peningkatan ketara sebanyak 118 peratus berbanding RM22.3 juta yang direkodkan pada tahun lalu.

Daripada jumlah RM48.63 juta tersebut, RM2.7 juta merupakan sumbangan tunai yang disalurkan ke dalam Akaun Amanah Sekretariat Merdeka (AASM), manakala RM45.93 juta lagi disumbangkan dalam bentuk barangan dan perkhidmatan (in-kind).

"Sumbangan barangan dan perkhidmatan ini dimanfaatkan sepenuhnya bagi menyokong kelancaran program.

"Sebahagian daripadanya akan diedarkan oleh Pasukan Sukarelawan Kementerian Komunikasi kepada pengunjung Sambutan Hari Kebangsaan di Dataran Putrajaya dan Sambutan Hari Malaysia di Borneo Convention Centre Kuching (BCCK), Sarawak," jelasnya.

Mengulas mengenai agihan nilai tajaan, beliau memberitahu 50 peratus diperuntukkan untuk promosi, 30 peratus bagi barangan agihan pengunjung, dan 20 peratus disalurkan untuk jawatankuasa penganjuran.

Bagi menggalakkan penglibatan sektor korporat, Kementerian Kewangan (MOF) sekali lagi meluluskan HKHM 2026 sebagai Projek Berkepentingan Nasional di bawah subseksyen 44(11C) Akta Cukai Pendapatan 1967.

Kelulusan itu membolehkan penaja barangan dan perkhidmatan dari 1 April hingga 16 September 2026 membuat tuntutan potongan cukai sehingga 10 peratus daripada pendapatan agregat, tertakluk kepada had RM15 juta.

Bagaimanapun, susulan lonjakan sumbangan barangan dan perkhidmatan tahun ini, Kementerian Komunikasi akan mengemukakan rayuan kepada MOF untuk mempertimbangkan kenaikan had insentif potongan cukai berkenaan.

"Saya memberi jaminan setiap sen dan bentuk sumbangan yang diterima akan diurus secara telus, berhemah dan bertanggungjawab demi menjayakan sambutan kebangsaan tahun ini," tegas Fahmi lagi.

Must Watch Video

Advertisement