Rakyat Malaysia dihukum penjara seumur hidup di Filipina akibat kes dadah bernilai AS$169 juta

Seorang warga asing yang juga anggota Sindiket Dadah Antarabangsa Sam Gor dijatuhi hukuman penjara seumur hidup selepas mahkamah mensabitkannya dalam kes dadah bernilai PHP10 bilion (AS$169.4 juta). - Gambar hiasan
MANILA: Seorang warga asing yang juga anggota Sindiket Dadah Antarabangsa Sam Gor dijatuhi hukuman penjara seumur hidup selepas mahkamah mensabitkannya dalam kes dadah bernilai PHP10 bilion (AS$169.4 juta), lapor Agensi Berita Filipina (PNA) memetik Agensi Penguatkuasaan Dadah Filipina (PDEA) pada Jumaat.
Dalam satu kenyataan, Ketua Pengarah PDEA, Setiausaha Rendah Isagani Nerez berkata, Mahkamah Wilayah Cawangan 98 di Bandar Olongapo mendapati Kong Ket Koon, seorang warga Malaysia, bersalah melanggar Seksyen 11 (Memiliki Dadah Berbahaya), Artikel II Akta Republik 9165 atau Akta Dadah Berbahaya Komprehensif 2002.
Koon diberkas pada 20 Jun 2025 selepas kapal nelayannya, F/B Christeve, didapati membawa 1.48 juta gram syabu bernilai PHP10.07 bilion (AS$169.4 juta) di perairan Calapandayan, Subic dan beberapa kampung di Zambales.
Selain hukuman penjara seumur hidup, beliau turut diperintahkan membayar denda PHP10 juta (AS$169,400) atau hukuman penjara sekiranya gagal membayar denda.
Menurut PNA, mahkamah turut memerintahkan pelucuthakan bot nelayan berkenaan kepada kerajaan.
PDEA menyatakan bahawa sindiket Sam Gor merupakan kartel dadah yang sama dikaitkan dengan beberapa insiden sebelum ini melibatkan bertan-tan syabu terapung yang ditemukan di perairan Bataan, Batanes, Cagayan, Ilocos Norte, Ilocos Sur dan Pangasinan.
Pihak berkuasa menyifatkan pemintasan maritim itu sebagai antara cubaan penyeludupan dadah terbesar yang berjaya digagalkan dalam sejarah tentera laut Filipina.
"Ini satu lagi kemenangan moral dalam kempen antidadah negara terhadap pengedar dadah asing berprofil tinggi. Kes ini diselesaikan dalam tempoh hanya lima bulan, mengambil kira jumlah dadah yang dirampas dan profil individu yang terlibat.
"Keadilan yang pantas meningkatkan keyakinan awam. Setiap kes yang disimpulkan dengan jelas dan berintegriti mengukuhkan kepercayaan rakyat terhadap sistem yang melindungi mereka. Setiap keputusan tepat pada masanya bukan sekadar kes ditutup, tetapi komuniti turut diyakinkan," kata Nerez.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


