Ke Jakarta atau tidak?

Itulah dilema yang dihadapi oleh sebahagian rakyat Malaysia yang merancang untuk ke Jakarta hujung minggu ini, selepas ibu negara Indonesia itu dilanda banjir buruk.

"Saya tidak tahu apa yang jadi di Jakarta sampailah diberitahu oleh anak saya yang minta saya tengok Buletin Awani. Saya akan tengok keadaan sehari dua ini,'' kata Suryati Mohd Hossein, 62 tahun yang dihubungi oleh Astro Awani.

Suryati merancang ke Jakarta hujung minggu ini untuk membeli-belah sebagai persiapan majlis perkahwinan anaknya tidak lama lagi.

Hujan lebat sejak Rabu hingga Khamis menyebabkan banjir buruk di 27 daripada 44 daerah di Jakarta. Di sesetengah kawasan, air naik sehingga satu meter.

Gabenor Jakarta, Joko Widodo pada Khamis meletakkan seluruh ibu kota itu di bawah perintah darurat sehingga 27 Januari.

Status darurat itu adalah bagi membolehkan urusan menangani bencana berjalan lancar, termasuk pembelian barang-barang keperluan bantuan kemanusiaan tanpa melalui proses tender.

Sementara itu, jurutera rangkaian, Mohafizal Husin, 30, yang dihubungi pada Khamis malam, tetap akan ke Jakarta pada Jumaat.

"Saya langgar saja esok," katanya.

Mohafizal merancang bercuti di Jakarta pada hujung minggu ini untuk menyaksikan sebuah konsert trio Swedish House Mafia di Ancol pada Sabtu.

Sebagai persediaan, beliau akan berhubung dengan Kedutaan Malaysia di Jakarta untuk maklumat dan perkembangan semasa.

Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta telah menyiapkan pelan persediaan bagi membantu memindahkan rakyat Malaysia di Jakarta jika keadaan banjir bertambah buruk.

Dalam pada itu, Intan Yusof, seorang usahawan, juga akan meneruskan rancangan ke Jakarta pada Jumaat, bagi urusan perniagaan.

Katanya, dia akan cuba sedaya upaya menyelesaikan urusan yang telah diatur dan pada masa sama, menikmati masa hujung minggu di Jakarta.