Rakyat Sarawak diseru menyokong usaha kerajaan untuk melakukan transformasi ke atas ekonomi negeri bagi memastikan impian untuk menjadi negeri paling maju di Malaysia menjelang 2030 berjaya dicapai.

Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata Sarawak tidak boleh terus menjalankan ekonomi dengan cara konvensional terutamanya di dalam era digital sekarang.

"Sekarang ini kita nak menuju transformasi ekonomi. Kita tidak boleh terus dengan ekonomi konvensional dalam era digital ini. Sekarang kita mesti pergi ke arah tranformasi ekonomi digital," katanya ketika berucap di hadapan kira-kira 10,000 anak Sarawak pada Majlis Makan Malam 'Lan Berambeh Anak Sarawak 2017 di sini, malam tadi.

Majlis kemuncak 'Lan Berambeh Anak Sarawak 2017' itu dirasmikan oleh Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Abdul Taib Mahmud yang hadir bersama isteri Toh Puan Raghad Kurdi Taib.

Turut hadir pada majlis malam ini ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nancy Shukri, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Joseph Entulu Belaun, Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim dan Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Richard Riot Jaem.

'Lan Berambeh Anak Sarawak', kini dalam tahun ke-10 penganjurannya, merupakan acara tahunan menghimpunkan anak-anak Sarawak yang bertugas dan melanjutkan pengajian di Semenanjung Malaysia.

Bertemakan 'Kamek Anak Sarawak', program sehari anjuran bersama Persatuan Anak Sarawak Kuala Lumpur dan Yayasan Sarawak Kuala Lumpur itu turut menganjurkan Karnival Anak Sarawak, yang antara lain memuatkan slot bual bicara "Santai Dengan Abang Jo" iaitu sesi dialog bersama Abang Johari.

-- BERNAMA