JOHOR BAHRU: Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar bertitah sikap segelintir rakyat yang memandang ringan mengenai pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dan menganggap seolah-olah wabak COVID-19 telah berakhir, hanya akan menambah beban kepada kemudahan penjagaan kesihatan negara.

Menyatakan kebimbangan baginda mengenai situasi COVID-19 yang kini berada pada tahap kritikal, Sultan Ibrahim bertitah jumlah kes tidak menunjukkan tanda-tanda penurunan dan beberapa negeri, termasuk Johor, kini menjadi negeri berisiko tinggi.

"Setiap kali apabila kita merasakan bahawa keadaan mula pulih dari penularan COVID-19, namun sebaliknya jumlah kes yang dicatatkan kembali meningkat lagi. Umpama mula menimbulkan rasa putus asa dan tiada kepedulian lagi.

"Rakyat tidak boleh mengabaikan SOP walaupun mereka telah menerima suntikan vaksin terhadap virus tersebut. Ingatlah untuk menjaga diri dan satu sama lain. Walaupun sistem penjagaan kesihatan kita diurus tadbir dengan baik, namun semuanya mempunyai batas. Jika beban yang terpaksa ditanggung menjadi keterlaluan, pasti akan membawa akibat yang tidak dapat dibayangkan," menurut baginda.

Titah baginda dimuat naik menerusi Facebook rasmi Sultan Ibrahim, di sini hari ini.

Sultan Johor juga berharap agar agensi penguatkuasaan akan bertindak lebih tegas dan adil terhadap mereka yang melanggar SOP ditetapkan, sekali gus tidak boleh membiarkan keadaan menjadi tidak terkawal, seperti yang sedang berlaku di India sekarang.

"Saya juga berharap kerajaan negeri akan mengambil keputusan yang bijaksana dan bertindak demi kepentingan rakyat. Saya menggesa rakyat Johor agar segera mendaftar untuk menerima suntikan vaksin. Percayalah kepada pakar kesihatan yang sahih, bukan khabar angin," titah baginda.

Sebagai Sultan Johor, baginda menjelaskan amat mengambil berat akan kebajikan dan keselamatan Bangsa Johor dan tidak mahu lagi mendengar kisah sedih keluarga yang kehilangan ahli mereka yang tersayang akibat wabak ini.

"Sekiranya perintah kawalan pergerakan yang ketat diperlukan untuk menyelamatkan nyawa, biarlah ia dilaksanakan buat kali terakhir tetapi berkesan, dengan memastikan orang ramai juga memainkan peranan masing-masing bagi menjayakan peraturan yang dikuatkuasakan.

"Pengorbanan mesti dibuat untuk kebaikan semua. Jangan kita menyesal kemudian hari, tiada gunanya," titah baginda.

-- BERNAMA