MALAYSIA
Rakyat titip doa, ucapan istimewa sempena ulang tahun ke-78 PM Anwar

Rakyat daripada pelbagai usia, kaum dan latar belakang pekerjaan turut memberikan ucapan kepada Perdana Menteri sempena hari istimewa itu. - Foto Jabatan Perdana Menteri
KUALA LUMPUR: Limpahan doa dan ucapan istimewa membanjiri media sosial sempena ulang tahun kelahiran ke-78 Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini, mencerminkan kasih sayang dan sokongan padu rakyat terhadap pemimpin negara.
Ringkasan AI
- Ulang Tahun ke-78 Perdana Menteri Disambut Meriah: Media sosial dibanjiri ucapan dan doa daripada pemimpin, rakyat dan pelbagai lapisan masyarakat sempena ulang tahun kelahiran ke-78 Datuk Seri Anwar Ibrahim.
- Doa & Penghargaan Kepimpinan Malaysia MADANI: Ucapan daripada anggota Kabinet, mufti, ahli akademik dan rakyat menzahirkan sokongan terhadap kepimpinan beliau dalam membina negara yang adil dan makmur.
- Simbolik & Sokongan Rakyat Pelbagai Kaum: Formasi angka 78 oleh pelajar SK Presint 14 Putrajaya serta video ucapan rakyat mencerminkan kasih sayang dan keyakinan terhadap aspirasi Malaysia MADANI.
"Seluruh warga Pejabat Perdana Menteri mengucapkan selamat ulang tahun kelahiran yang ke-78 kepada YAB Dato' Seri Anwar Ibrahim," menurut hantaran tersebut, yang turut disertakan video berdurasi 44 saat memaparkan perjalanan kepimpinan beliau.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar, dalam ucapannya, berdoa agar Perdana Menteri terus diberikan kesihatan, kekuatan, dan kebijaksanaan dalam memimpin negara serta merealisasikan aspirasi Malaysia MADANI.
Sementara itu, Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa menzahirkan penghargaan terhadap keteguhan dan kesabaran Perdana Menteri.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali turut menyampaikan ucapan ringkas namun bermakna, mendoakan agar Perdana Menteri sentiasa dalam rahmat Allah SWT dan dipanjangkan umur.
Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari pula menyifatkan Anwar sebagai pemimpin ulung negara yang memimpin dengan penuh kebijaksanaan.
Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, menzahirkan penghargaan terhadap kepimpinan beliau yang penuh hikmah.
"Doa kami agar setiap langkah YAB sentiasa dipandu petunjuk Ilahi, dilimpahi rahmat dan kasih sayang Allah SWT. Terima kasih atas kepimpinan yang penuh kebijaksanaan dan kesungguhan dalam membina Malaysia MADANI," katanya.
Sementara itu, laman Facebook Malaysia MADANI turut berkongsi klip video 2 minit 41 saat mengandungi ucapan daripada pelbagai lapisan masyarakat khusus buat Perdana Menteri.
Lebih istimewa, Mufti Wilayah Persekutuan Ahmad Fauwaz Fadzil, Mufti Pulau Pinang Prof Madya Dr Mohd Sukki Othman, ahli akademi dan pendakwa Prof Datuk Dr Mohd Farid Ravi Abdullah serta penceramah dan pendakwah Zul Ramli M.Razali bersama-sama memanjatkan doa untuk Perdana Menteri.
Rakyat daripada pelbagai usia, kaum dan latar belakang pekerjaan turut memberikan ucapan kepada Perdana Menteri sempena hari istimewa itu.
Lebih menyentuh hati, sekumpulan pelajar Sekolah Kebangsaan Presint 14 Putrajaya membentuk formasi angka 78 sebagai simboli usia Perdana Menteri.
"Daripada kami, rakyat Malaysia, setulus hati mengucapkan selamat ulang tahun kelahiran ke-78 kepada YAB Dato' Seri Anwar Ibrahim.
"Semoga Allah SWT mengurniakan kesihatan yang baik, usia yang panjang, dan kekuatan berterusan untuk memimpin negara menuju Malaysia MADANI yang makmur, adil, dan sejahtera," menurut catatan di laman Facebook tersebut.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami