Tiada yang lebih menggembirakan buat seseorang yang berada di perantauan apabila menerima layanan bagaikan ahli keluarga daripada rakyat di negara asing.

Itulah yang dirasai seorang warga Palestin yang telah menetap di Malaysia sejak hampir 10 tahun lalu.

Bagi Mohamed Elhalabi, 32 tahun, perasaan itu kian ketara apabila tibanya bulan Ramadan.

Sambutan Ramadan pada setiap tahun dirasakan seolah-olah seperti di negara sendiri walaupun hakikatnya beliau terpaksa berjauhan dengan keluarga tercinta.

“Tiada bezanya, tetapi di Palestin ia lebih kepada bersama dengan keluarga. (Sambutan daripada) masyarakat Malaysia buat saya rasa seperti berada di tanah air sendiri walaupun sebenarnya saya telah berjauhan sembilan setengah tahun lamanya.

“Kami dapat rasa perkongsian kasih sayang dan sokongan kepada warga Palestin terutamanya ketika Ramadan,” kata Mohamed Elhalabi.

Mengulas suasana berpuasa di negara ini berbanding di negara sendiri, Mohd Elhalabi mengakui tiada banyak perbezaan antara kedua-dua Negara, terutamanya daripada segi sajian makanan.


Mohd Elhalabi merupakan penuntut di Universiti Sains Malaysia (USM) dan sedang melanjutkan pengajian di peringkat doktor falsafah (PhD) dalam jurusan Sains Komputer.

Dia yang kini sudah berkeluarga dan mempunyai dua orang anak mengakui sangat merindui keluarganya di Palestin, terutamanya ibu bapa serta adik-beradik setiap kali Ramadan tiba.

Walaupun menganggap Malaysia sebagai rumah keduanya, namun jauh di sudut hati Elhalabi masih menyimpan hasrat untuk pulang ke negara asal setelah tamat pengajian sekiranya keadaan di sana mengizinkan.

“Saya memang berhasrat untuk pulang ke Palestin, itu negara asal saya, tetapi bergantung kepada situasi. Bukan mudah untuk pulang dengan keadaan di sempadan Mesir dan Israel.

“Jika berpeluang untuk pulang, saya akan pulang. Tetapi jika saya ada peluang lebih baik di Malaysia untuk saya menyara keluarga di rumah, saya akan tinggal di Malaysia.”

Elhalabi ditemui pada Majlis Iftar Perdana bersama Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang dan majlis penyerahan sumbangan kepada anak-anak yatim dan pelajar Palestin di Universiti Sains Malaysia (USM) baru-baru ini.