AYER KEROH: Kerajaan Melaka memandang serius pendedahan sejumlah 648 daripada 13,976 guru di negeri itu dikenal pasti menghadapi tekanan sehingga menyebabkan sebahagian besar mengambil keputusan bersara awal.

Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali berkata, beliau mengarahkan pihak berkaitan khususnya Jabatan Pendidikan Negeri untuk menjalankan siasatan terutamanya melibatkan 28 guru yang disahkan mengalami kemurungan.

Sulaiman berkata, beliau mahu siasatan terperinci dilakukan segera bagi membolehkan perkara berkenaan di bawa ke peringkat Persekutuan supaya angka yang dikesan tidak terus bertambah.

"Ramai guru yang mungkin agak stres dengan kerja di sekolah, begitu juga dengan kerja di rumah seperti urusan keluarga dan sebagainya

"Yang ni saya ambil serius akan bebanan tugas guru yang kian menacabar, dan saya akan menyiasat lebih 600 guru yang stres di Melaka ini... semalam ada sentuh guru yang berhenti awal, tidak tahan dengan bebanan kerja ini.

"Di Melaka saya akan minta pihak berkenaan terutamanya pihak Jabatan Pendidikan Negeri untuk melihat perkara ini dan memaklumkan kepada saya apa yang boleh kerajaan negeri ketengahkan pada peringkat Pusat," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas hari terakhir Persidangan Ketiga, Penggal Pertama, Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka ke-15 di Seri Negeri, di sini, hari ini.

Semalam, DUN Melaka dimaklumkan 648 daripada 13,976 guru dikenal pasti menghadapi tekanan dan kemurungan sepanjang berkhidmat sehingga menyebabkan sebahagian besar daripada mereka mengambil keputusan untuk bersara awal.

Exco Kesihatan dan Antidadah negeri, Dr Muhamad Akmal Saleh dilaporkan  berkata, angka itu dikesan selepas saringan skala kemurungan, kebimbangan dan tekanan (DASS) yang dilakukan secara sukarela dibuat melalui Sistem Pengurusan Perkhidmatan Kaunseling  (E2PK) Kementerian Pendidikan.

Daripada jumlah itu juga, 28 atau 4.32 peratus guru mengalami kemurungan dan beberapa tindakan diambil untuk memulihkan keadaan itu seperti kaunseling, melaksanakan program meningkatkan kesedaran kesejahteraan psikologi guru #3A (Sedar dan Peka Tindak) kepada semua warga Jabatan Pendidikan negeri.