KUALA LUMPUR: Tangki septik yang tidak diselenggara dan dikosongkan menjadi salah satu faktor utama kepada punca pencemaran sumber air khususnya sungai dan sistem perairan di negara ini.

Sistem pembetungan jenis tangki septik individu merupakan sebuah tangki mendapan bagi menakung air sisa daripada aktiviti di rumah seperti air mandi, basuhan baju, tandas dan cucian pinggan mangkuk yang dialirkan masuk ke dalam tangki tersebut.

Setiap tangki septik memerlukan penyelenggaraan berterusan dan pengosongan secara berjadual amat penting bagi memastikan kelestarian alam sekitar tepelihara.

Namun, adalah amat mengecewakan apabila orang ramai masih tidak peduli akan kepentingan bagi mengosongkan tangki septik.

Kosongkan tangka septik individu anda sekurang-kurangnya 2 tahun sekali

Pengarah Bahagian Standard Teknikal dan Pematuhan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), T. Recca menggesa pengguna melakukan penyelenggaraan berterusan dan pengosongan secara berjadual sekurang-kurangnya dua tahun sekali bagi memastikan kelestarian alam sekitar terpelihara.

Katanya pada masa ini, perkhidmatan pengosongan tangki septik yang disediakan oleh syarikat pembetungan Indah Water Konsortium (IWK) Sdn Bhd, merupakan alternatif terbaik bagi mengatasi masalah tersebut.

“IWK sebagai pemegang lesen, sebenarnya telah banyak membuat promosi untuk meningkatkan kesedaran dan kepentingan mengenai pengosongan tangki septik ini. Jadi, diharapkan dengan promosi-promosi yang dijalankan itu turut dapat meningkatkan penyertaan orang awam kepada aktiviti tersebut.

“Pada masa sama, saya juga ingin menekankan bahawa usaha memulihara alam sekitar ini adalah tanggungawab kita bersama, jadi sebagai pengguna kita haruslah menjalankan tanggungjawab bersama untuk menjadi pengguna yang bijak dan prihatin,” katanya kepada Astro AWANI baru-baru ini.

Disamping itu, Recca turut berkata, pengosongan tangki septik adalah amat penting bagi mengelak penyakit bawaan air seperti demam kepialu, taun, dan hepatitis A.

Sementara itu, beberapa pengguna yang ditemui Astro AWANI turut berpuas hati dengan perkhidmatan ditawarkan IWK.

Bagi Museyy Ena Munari, 52, perkhidmatan profesional yang ditawarkan oleh IWK bagi aktiviti pengosongan tangki septik amat memudahkan keluarganya.

“Saya menggunakan perkhidmatan pengosongan tangki dari IWK sebab ia lebih mudah, boleh dipercayai, teratur dan sistematik. Mereka mempunyai pasukan yang profesional dan sebagai pelanggan IWK, saya diberikan waranti untuk perkhidmatan tersebut. Saya sangat berpuas hati dengan perkhidmatan yang mereka berikan,” katanya.

Manakala bagi Mohamad Athir Nazmi Mohamad Nasir, 22 pula berkata, perkhidmatan IWK sangat bertepatan dengan apa yang dikehendaki khususnya apabila menyediakan jadual pengosongan tangki septik itu kerana IWK sentiasa mengutamakan dan memudahkan pelanggannya.

“Saya sekeluarga mendapatkan perkhidmatan pengosongan tangki septik ini daripada IWK. Mereka akan menyediakan jadual pengosongan yang sesuai dengan jadual kami dan kami secara amnya tidak lagi perlu memikirkan bila pengosongan tangki perlu dibuat kerana semuanya  diuruskan IWK,” katanya.

Pemilik dikehendaki menyelenggara tangki septik individu secara berjadual dan kegagalan melakukan boleh didenda di bawah Akta Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (Seksyen 65)

Di Malaysia, terdapat kira-kira 1.35 juta tangki septik di seluruh negara dan kebanyakannya digunakan di premis-premis yang terletak di pinggir bandar, pekan kecil atau premis dan rumah yang telah berusia lebih daripada 25 tahun. Namun, daripada jumlah tangki septik tersebut, kurang daripada 10 peratus pemilik atau penggunanya yang melakukan pengosongan secara berjadual.

Kerajaan melalui Kementerian Alam Sekitar dan Air pada 30 Mac 2021 telah mewartakan satu peraturan baharu yang dikenali sebagai Peraturan-Peraturan Industri Perkhidmatan Air (Perkhidmatan Nyahenap Cemar) 2021 yang menumpukan kepada keperluan pengosongan tangki septik secara berjadual di seluruh negara.

Menurut warta berkenaan, mana-mana pemilik, perbadanan pengurusan atau penghuni premis yang tidak mematuhi arahan notis bertulis kedua daripada IWK, mereka telah melakukan suatu kesalahan di bawah subseksyen 65(3) Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 [Akta 655] dan boleh di denda tidak melebihi RM50,000 jika disabitkan.


IWK | Masih ramai tidak kosongkan tangki septik

 
*Artikel ini adalah kandungan berbayar