Cadangan untuk memberi suntikan semangat kepada Syarikat Penerbangan Malaysia (MAS) dengan membenarkan krew dan juruterbang-juruterbang MAS mengetuai pasukan negara untuk membawa Jalur Gemilang di sukan Komanwel, di sambut baik oleh pembaca Astro AWANI.

Cadangan yang dikemukakan oleh Personaliti radio Umapagan Ampikaipakan dan rakannya Shahriman Lockman itu telah menerima sambutan yang begitu memberangsangkan, di mana 91.09 peratus bersetuju dengannya.

Di Facebook Astro AWANI, ramai pembaca turut member respon positif terhadap soalan ‘wajarkah krew MAS dibenar bawa Jalur Gemilang di Sukan Komanwel?’.

Pengguna Facebook Nurul Izatuleffa berkata tindakan itu wajar kerana MAS telah menerbangkan lambang Malaysia di seluruh dunia.

“Mereka memperkenalkan Malaysia di dunia. Sempena menghargai mereka selepas dua tragedi yang amat berat, mereka layak diberi peluang membawa Jalur Gemilang,” katanya.

Seorang lagi pembaca Faizzuddin Arif turut bersetuju dengan cadangan itu.

“Biar negara luar nampak yang kita masih sokong lagi produk negara kita sendiri. Sebab ramai orang asing sudah fobia naik pesawat kita. Siapa lagi kalau bukan kita yang perlu sokong MAS ?” tanyanya.

Malah, pembaca Chua HC berkata perkara itu unik dan beliau cadangkan meletakkan logo MAS pada baju rasmi pasukan Komanwel Malaysia.

Laman Twitter juga dibanjiri dengan komen untuk menyokong cadangan itu.





Sebelum ini, Umapagan berkata memberi kebenaran untuk krew MAS mengetuai pasukan negara dengan membawa bendera, adalah simbol sokongan kepada mereka dan symbol bahawa rakyat Malaysia berdiri teguh di belakang mereka.

“Ini bukanlah hanya tragedi untuk Malaysia. Ia tragedi dunia. Dan kami yakin pihak Komanwel juga akan sokong kami,” katanya.

Sementara itu, Shahriman seorang penganalisis kanan, berkata ia adalah suatu idea yang menarik untuk dilakukan.

“Saya faham bahawa ada ramai atlit negara pun ingin membawa bendera Malaysia, tetapi sekiranya krew MAS boleh berarak bersama di belakang atlit-atlit negara pun cukuplah,” katanya.