KUALA LUMPUR: Pendekatan Keluarga Malaysia yang diilhamkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, diharap dapat mengenal pasti perbezaan-perbezaan yang ada dan merancang dasar-dasar pembangunan yang sesuai dengan keadaan di Sarawak dan Sabah.

Menurut Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg, ini bagi membolehkan wilayah-wilayah ini lebih cepat maju mengikut jejak langkah Semenanjung.

“Tidak dapat dinafikan bahawa Kerajaan Persekutuan telah melaksanakan pelbagai program pembangunan di Sarawak, termasuk projek Lebuhraya Pan Borneo.

‘’Namun apa yang telah terlaksana mungkin belum mencukupi untuk memastikan Sarawak boleh mengejar tahap pembangunan seperti di Semenanjung,’’ katanya.

Abang Johari berkata demikian ketika berucap sempena Majlis Pelancaran Keluarga Malaysia Peringkat Nasional di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) pada Sabtu.

Selain itu Abang Jo juga berharap agar kaedah yang berbeza harus direncanakan untuk mengangkat status ekonomi di Sarawak kerana asas ekonomi negeri tersebut berbeza dengan negeri lain di Semenanjung.

‘’Ibarat dalam suasana sebuah keluarga, setiap ahli keluarga itu mempunyai perbezaan dari segi perlakuan dan memerlukan layanan yang berbeza-beza.

‘’Dalam keluarga kita yang besar, saya percaya kebolehan untuk mendengar keluh kesah ahli-ahli keluarga kita juga penting untuk memastikan suasana keluarga kita terus kekal mesra dan Muhibbah,’’ tambahnya.

Pada 22 Ogos lalu, Perdana Menteri memperkenalkan gagasan Keluarga Malaysia bagi mengajak seluruh rakyat tanpa mengira kaum dan fahaman politik bersama berganding bahu membawa keluar negara ini daripada pandemik COVID-19.

Tambahnya, konsep Keluarga Malaysia diambil kerana baginya, keutuhan negara terikat dengan nilai didikan sempurna dalam sesebuah keluarga.