Rang Undang-Undang (RUU) Tenaga Atom akan dibentangkan di Parlimen tahun ini, ujar Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin.

Ia bakal menggantikan Akta Perlesenan Tenaga Atom 1984 (Akta 304).

"Kami akan membentangkan Rang Undang-Undang Tenaga Atom yang baharu tahun ini di Parlimen untuk mengatur aktiviti tenaga atom dan bahan radioaktif dengan lebih baik," katanya melalui status terbaharunya di laman sosial Twitter pada Rabu.

Justeru, kementeriannya membuka peluang kepada orang ramai untuk mengemukakan cadangan berhubung pembentangan rang undang-undang berkenaan.

"Kami akan mendapatkan pandangan dengan pihak berkepentingan termasuk orang awam sebelum penggubalan rang undang-undang ini," tambahnya.


Mengikut dokumen konsultasi yang dimuatkan dalam cadangan penggubalan RUU Tenaga Atom, Akta 304 tidak pernah dipinda sejak ianya diwartakan pada tahun 1984.

Katanya, selaras dengan perkembangan teknologi tenaga atom dalam pelbagai bidang industri dan penekanan terhadap isu-isu kawalgunaan serta sekuriti terhadap tenaga atom yang berlaku di peringkat serantau dan antarabangsa, skop kawalan Akta 304 bagi tujuan pengawalseliaan terhadap penggunaan tenaga atom perlulah diperkemaskan dan dipertingkatkan.

Sebarang cadangan, boleh dikemukan di http://upc.mpc.gov.my yang bermula 7 hingga 21 Julai 2020.