KUCHING: Rangka kerja yang lebih komprehensif perlu diwujudkan antara kementerian dan agensi di peringkat Persekutuan dan negeri bagi menyelesaikan secara tuntas isu ke ketidaksamaan kesihatan.

Ahli Parlimen Bandar Kuching, Dr kelvin Yii Lee Wuen mencadangkan, satu pelan tindakan holistik dirangka dengan mengambil kira elemen Penentu Sosial Kesihatan (SDoH) yang berbeza.

“Kita perlu menangani penentu sosial kesihatan (SDoH) yang berbeza termasuk menangani kemiskinan, menyediakan kemudahan asas, pembangunan saksama dan banyak lagi yang bukan sahaja berada di bawah bidang kuasa Kementerian Kesihatan.

“Saya berharap Menteri Kesihatan dan timbalannya yang baharu akan mengenal pasti terlebih dahulu isu-isu yang berkaitan.

“Kemudian memperuntukkan dana yang diperlukan untuk melengkapkan kemudahan penjagaan kesihatan di kawasan luar bandar dengan lebih baik selain memastikan adanya pembangunan dalam ekosistem sekeliling,” katanya menerusi kenyataan ditulis di Facebook rasmi beliau pada Sabtu.

Dalam masa yang sama, Dr Kelvin menggesa kerajaan untuk menyediakan keperluan petugas kesihatan di pedalaman dan memastikan semua fasiliti kesihatan berkaitan bersedia dengan pakar serta tenaga manusia mencukupi.

“Jadi walaupun dalam keadaan kecemasan, pemindahan pesakit boleh dilakukan dengan cara yang paling cekap tanpa adanya halangan.

“Semua ini memerlukan semangat politik yang jitu dan lebih penting lagi agar kementerian tidak bekerja secara bersendirian lagi. Kita mungkin perlu "memikirkan semula" bagaimana kita menguruskan kesihatan terutamanya di kawasan pedalaman.

“Kita ingin memastikan semua rakyat Malaysia mendapat akses kepada penjagaan kesihatan sejagat yang berkualiti, dan tiada bayi sepatutnya mati dalam pelukan ibu semasa dalam perjalanan ke hospital, kejadian seperti itu tidak berulang lagi,’ ujarnya lanjut.

Kenyataan Dr Kelvin ini merujuk kepada dua kes kematian yang berlaku di Sarawak beberapa minggu lalu melibatkan seorang wanita daripada Lawas dan bayi daripada Julau yang masing-masing telah disahkan meninggal dunia dalam perjalanan ke fasiliti kesihatan.

Kes pertama membabitkan seorang bayi yang meninggal dunia dalam dakapan ibunya ketika dalam perjalanan menaiki bas dari Julau ke Kuching untuk rawatan dan seorang lagi seorang wanita warga emas dari Lawas meninggal dunia sebelum ambulans yang sepatutnya menghantarnya ke hospital boleh melalui pintu pagar Sungai Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan Tujoh (ICQS).